02 Jun 2019

author photo
20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa Untuk Tahun 2019 Ini || 
Salam semua, rasa terdetik nak share resepi - resepi yang pernah buat guna periuk tekanan noxxa.

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa
Tengok balik resepi - resepi guna periuk noxxa ni dah banyak, kali ini buat entri khusus untuk 20 resepi periuk Noxxa yang sangat mudah, cepat dan jimat masa. Orang lain dah macam - macam buat dah dalam noxxa.

Walaupun tak mampu semua nak buat, macam contoh bakar kek dalam noxxa tak pernah nak buat lagi hii. Kita share resepi yang mudah - mudah memandangkan, peminat periuk noxxa pun ramai. Periuk noxxa dah model baru tahun ini, lawa la pulak desginnya.

Dah habis kecoh kat group sebelah noxxa dah model baru, tapi kita guna still lama lagi ya, fungsi pun sama jugak. Cuma yang baru ni up-to-date la sikit. Biasalah barang macam ni, kena upgrade nak bagi lagi gempak.

Biasanya kalau tengok resepi yang ada daging, ada yang rebus sekejap ada yang rebus lama, bergantung kepada keadaan jenis daging, macam kita buat ada juga daging yang liat sangat, Itu lah pergi HP sampai 50 minit :D. Entah daging kerbau tua ke daging apa hii.  Kalau daging tempatan dapat lembu yang muda - muda tak ada lah lama sangat.

Jom siapa -siapa yang baru berjinak nak guna noxxa tu, kita kongsikan 20 resepi kat sini, gambar semua memang hak cipta terpelihara yang kita punya ya. Ada setengah resepi follow resepi orang lain tapi guna cara periuk noxxa. Mungkin orang lain ada cara tersendiri tapi ini cara kita ya. siapa nak follow boleh :).

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Bihun Sup Mudah Noxxa Yang Sedap Dan Senang Nak Buat 

BAHAN -BAHAN
2 ekor kerangka ayam
2 biji tomato
6 biji bebola ikan dibelah 4
1/2 sudu teh serbuk lada putih
1/2 kiub pati ayamdaun sup secukupnya
Bihun yang telah dicelur secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN SAMPINGAN
Limau nipis
Bawang goreng
Sayur sawi yang telah dicelur

CARA-CARA
1. Dalam periuk noxxa, letakkan 2 ekor kerangka ayam yang dah dibersihkan, letakkan air paras - paras.
2. Untuk kerangka ayam ini, kita hanya guna low pressure, jadi, tekan low pressure 6 minit, lepas tu tekan button on
3. Pastikan  tombol ke pressure
4. Selepas bunyi beep, tekan button off, kemudian putar tombol ke steam untuk lepaskan wap sampai habis. buka tudung nampak lah kerangka ayam macam ni.nanti, kerangka ayam ni masak seekor macam ni, lepas masak, baru boleh leraikan sikit bahagian sendi -sendi nanti senang nak makan,
5. Kemudian next step, bahan- bahan yang tak banyak, masukkan daun sup, bebola ikan, dan belahan tomato, biasanya wani guna 2 biji tomato. masukkan juga kiub pati ayam dan serbuk lada putih dalam 1/2 sudu teh. kalau terasa nak tambah air ikut orang nak makan boleh tambah, agak-agak semua tu
6. Tutup periuk, tekan low pressure selama 4 minit dan tekan button on
7. Putar tombol ke pressure
8. Selepas bunyi beep, tekan button off dan putar tombol ke steam untuk lepaskan wap, baru boleh buka tudung.ok dah siap macam gambar kat atas. boleh perasakan dengan garam secukup rasa, boleh lah hidangkan ya.

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Sup Tulang Pekat Noxxa Dan Sangat Sedap 

SUMBER : INTAI - INTAI DAPUR FHA

Bahan A
400 gram tulang lembu

Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
1 labu bawang putih (~12 ulas) (dihiris nipis/dicincang)
1 inci halia (dihiris tebal)
2 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
2 batang kulit kayu manis
4 biji buah pelaga

Bahan C
2 biji bawang besar (dihiris sederhana tebal)
1 camca besar rempah sup
1 camca kecil lada hitam (ditumbuk)
1 camca kecil lada putih (ditumbuk)
2 batang serai (diketuk lebam)

Bahan D
Air secukup nya sebagai kuah
1 helai daun pandan (dikoyak dan disimpul)

Bahan E
1 batang lobak merah (dipotong tebal)
2 biji ubi kentang (dibelah 4)
1 biji tomato (dibelah 2)
8 biji cili padi hijau (dibiar sebiji sebiji)
8 biji cili padi merah  (dibiar sebiji sebiji)
1/2 kiub pati lembusedikit garam

Bahan F
1 mangkuk kecil hirisan daun sup
1 mangkuk kecil hirisan daun bawang
1 mangkuk kecil bawang goreng

Cara-Cara
1. Tekan stir fry dan tekan on.
2. Masukkan sedikit minyak dan masukkan rempah 4 sekawan,biar naik wangi sekejap terus .masukkan bawang putih dan halia. tumiskan sekejap sehingga naik bau.
3. Masukkan bawang merah dan bawang besar yang telah dimayang, tumis lagi sehingga wangi.
4. Kemudian, masukkan rempah sup, wani guna jenama mak siti.kacau sehingga rata biar tumisan masak.
5. Selepas tumisan masak, masukkan air dan tulang lembu, air paras tulang sahaja jangan lebih tak sedap.
6. Masukkan daun pandan yang telah diikat, lada burung yang telah diketuk, serbuk lada hitam dan serai yang telah diketuk. masukkan garam secukup rasa.
7. Tombol ke pressure dan tekan high pressure selama 42 minit dan tekan on.
8. Bila dah bunyi beep, tekan off dan putar tombol ke steam untuk lepaskan wap. kalau terasa macam tak lembut lagi, boleh tutup balik dan tambah masa beberapa minit.
9. Kemudian masukkan potongan carrot kedalam periuk dan tekan stir fry lepas tu tekan on
10. Didihkan sekejap sampai carrot nampak lembut dah boleh tekan off.

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Dalca Daging Kelantan Yang Sedap Noxxa
Sumber : Linapg

Bahan-Bahan
300g daging tetel/daging cincang ( Lebih sedap campur perut dan juga pelempung )
1 paket kecil rempah dalca (Kalau tak ada guna rempah kari ayam pun ok)
1 labu bawang besar (kisar)
5 ulas bawang merah (kisar)
3 ulas bawang putih (kisar)
1 cm halia (kisar)3 hiris lengkuas (kisar)
3 sudu besar cili giling
1 biji terung panjang (potong)
6 biji kacang bendi ( kalau nak tambah boleh )
1 biji karot (potong baji)
1 cawan santan pekat
2 asam keping
Bunga lawang, pelaga dan kulit kayu manis
Minyak
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula

Cara-Cara
1. Tekan stir fry dan tekan on, masukkan sedikit minyak ke dalam periuk, tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis dan pelaga hingga terbit bau.
2. Masukkan bahan kisar, tumis hingga agak garing sedikit. Sementara itu satukan rempah kari dan cili giling, campurkan dengan sedikit air.Jadikan pes pekat.
3. Apabila bahan tumisan garing, masukkan pes rempah dan tumis hingga pecah minyak.
4. Masukkan daging/ayam gaul bersama rempah hingga sebati. Offkan stir fry
5. Masukkan asam keping, sedikit garam dan gula/perasa.Tambah air asam jawa secukupnya.
6..Setelah itu masukkan santan. High pressure dalam 25 minit. Pastikan tombol ke pressure dan tekan on.
7. Setelah bunyi beep,off kan dan  lepaskan wap .Masukkan karot, dan terung. Juga kacang bendi kemudian onkan stir fry.
8. Didihkan sampai ke semua sayuran nampak agak layu. Boleh offkan
9.Sesuaikan rasa.Tambah garam dan gula/perasa sesedap rasa dan boleh dihidangkan.

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Tapai Pulut Noxxa Mudah Dan Cepat Hanya 8 Minit

CARA MASAK PULUT NOXXA 8 MINIT 

Bahan - Bahan
 1.5 kg beras pulut

Cara - Cara 
1. Basuh beras pulut kemudian sejatkan dalam penapis
2. Masukkan ke dalam periuk noxxa dan masukkan air atas paras beras sikit.
3. Tutup dan putar tombol ke pressure, kemudian tekan HP 8 minit dan tekan button On
4. Lepas bunyi beep, putar tombol ke steam dan biarkan wap keluar
5. Buka tudung, beras pulut elok masak cantik.

CARA BUAT TAPAI PULUT NOXXA YANG MUDAH

 Bahan - Bahan
 1.5 kg beras pulut1 ketul ragi dijemur sekejap di bawah sinaran matahari nanti senang nak hancurkan
Bekas kecil secukupnya

Cara - Cara 
1. Basuh beras pulut kemudian sejatkan dalam penapis
2. Masukkan ke dalam periuk noxxa dan masukkan air atas paras beras sikit.
3. Tutup dan putar tombol ke pressure, kemudian tekan HP 8 minit dan tekan button On
4. Lepas bunyi beep, putar tombol ke steam dan biarkan wap keluar
5. Buka tudung, beras pulut elok masak cantik. Kemudian sejukkan pulut atas dulang, biar sama rata jangan tebal sangat.
6. Pulut kena betul - betul sejuk ya. Sementara itu, ragi yang dah dijemur boleh dihancurkan, seketul ragi tu tak habis guna, kalau pandai main tabur, memang seketul tak habis.
7. Pastikan tangan betul - betul kering, taburkan ragi seratanya ke atas pulut. Bahagian atas sahaja.
8. Pastikan juga sudu dan bekas betul - betul kering, tangan pun kena kering juga.
9. Ambil sesudu pulut dan masukkan ke dalam bekas, Ulang sampai habis  ke semua pulut.
10. Simpan tapai pulut  di dalam bekas lain yang tertutup. Kalau boleh bungkus macam gambar di atas ya.
11. Setelah 2 malam 2 hari, boleh buka check tengok samada dah "masak" ke belum. Biasanya dalam 2 malam dah masak dah.
12. Simpan dalam peti untuk dimakan sejuk..

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Nasi Dagang Noxxa 8 Minit 

BAHAN - BAHAN

1.5 kg beras nasi dagang
5 ulas bawang merah dimayang
1 inci halia dipotong mancis
Santan secukupnya ( guna santan pekat segar )
Garam kasar secukupnya
1 sudu teh halba dibasuh dan sejatkan terlebih dahulu
Air secukupnya untuk masak nasi dagang

CARA - CARA

1. Sebelum basuh, tengok -tengok dulu dalam beras takut ada bendasing yang tak diingini. Basuh beras nasi dagang sehingga bersih
2. Letak beras dalam inner noxxa dan masukkan air atas paras beras sikit. Masukkan bawang dan halia, halba dan garam secukupnya. Garam letak nak bagi nasi ada masin sikit. Kemudian kacau rata sekejap.
3. Tutup dan putar tombol ke pressure. Tekan high pressure selama 8 minit dan tekan on.
4. Selepas bunyi beep, tekan off dan putar tombol ke steam. Buka tudung dah siap masak nasi dagang. Tutup suis dan angkat inner noxxa keluar
5. Sediakan satu besen besar dan pindahkan nasi dagang dari inner letak dalam besen
6. Kemudian, masukkan santan sikit - sikit sambil gaul rata dengan nasi dagang. Nak berlemak lagi nasi tu letak lagi santan, sedap kalau rasa lemak - lemak santan, baru dipanggil nasi dagang.
7. Kemudian, letak balik nasi dagang yang telah digaul santan ke dalam inner dan letak dalam periuk noxxa.
8. Tutup dan putar tombol ke steam. Tekan "reheat" dan tekan on. Biarkan dalam periuk selama 1 jam, nak bagi santan diserap masuk dalam nasi
9. Selepas satu jam, nasi dagang dah siap

Nota : Selepas banyak kali buat, suka dengan cara macam ini sebab nak elak guna mode steam takut nasi hangit bawah. Berbaloi walaupun kena tunggu sekejap, nasi dagang kembang elok dan cantik. sebab itu kena buat awal pagi sikit hii.

Resepi ini dalam 1.5 kg beras dagang, kalau nak masak sikit, boleh kurangkan.



20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

RESEPI AIR ASAM KAKI LEMBU YANG SEDAP DAN MUDAH NOXXA

Bahan - bahan
630 gm kaki lembu
1 labu bawang besar kuning dimayang3 keping asam kepingDaun kesum dihiris (bergantung kalau suka letak banyak )
3 tangkai lada burung merah dan 2 tangkai lada yang diketuk ( Nak tumbuk halus pun boleh )
Belacan sebesar ibu jari  secukupnya  ( kalau tak cukup boleh tambah ikut suai rasa )
Garam dan gula secukup rasa
1 mangkuk air asam jawa ( anggaran kalau rasa nak lagi masam boleh tambah ya )
Jus limau nipis secukupnya ( kena banyak kalau nak lagi masam )
Air masak secukupnya

Cara - cara
1. Kaki lembu yang sudah siap dihiris sederhana dan dibasuh bersih dimasukkan ke dalam periuk noxxa.
2. Masukkan asam keping dan air secukupnya sama paras dengan kaki lembu, tutup dan putar tombol ke pressure
3. Tekan high pressure selama 40 minit dan tekan on
4. Selepas bunyi beep, tekan off dan putar tombol ke steam untuk lepaskan wap
5. Buka tudung, hirisan kaki lembu yang direbus dah masak
6. Masukkan bawang besar yang telah dimayang, daun kesum yang dihiris, air asam jawa, lada burung yang diketuk dan juga belacan
7. Tekan stif fry dan tekan on tunggu sehingga mendidih
8. Bila dah sebati mendidih boleh tekan off.
9. Biasanya lepas siap masak, pindah dalam periuk lain, sebab tak nak bagi kembang sangat dalam noxxa, periuk panas sangat. ia cepat jadi kembang, kuah pun cepat diserap. Jadi senang cerita, pindah masuk dalam periuk lain
10. Kalau rasa nak tambah kuah, boleh tambah air asam jawa, kalau terlebih masam tambah air masak ya. Macam tu lah kena agak - agak sikit.


20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Cara Nak Masak Agar - Agar Pandan Noxxa, Cepat Dan Jimat Masa

Bahan-bahan

30 gm agar - agar
1 1/2 cawan gula pasir
2 cawan air pandan (blender pandan)
1 sudu teh pewarna hijau epal
4 1/2 cawan air
1 1/2 cawan santan (campur pekat + cair)
1 biji telur

Cara - Cara

1. Masukkan agar-agar, gula,air dan air pandan ke dalam periuk noxxa.
2. Tutup dan tekan high pressure 6 minit tekan on, pastikan tombol ke pressure.
3. Selepas bunyi beep, tekan off, putar tombol ke steam untuk lepaskan wap.
4. Buka tudung, kacau sekejap dan masukkan pewarna hijau sikit.
5. Dalam bekas yang lain, pukul telur. Masukkan telur yang dipukul ke dalam bekas santan. Gaul rata.
6. Masukkan santan yang telah dicampur dengan telur ke dalam periuk tadi. Semasa tuang sambil kacau cepat - cepat sikit, nak elakkan sebahagian telur jadi masak.
7. Tekan stir fry dan tekan on tunggu sehingga mendidih kuat sikit, nampak macam nak naik ke atas terus tekan off.
8.Angkat periuk dalam noxxa dan sebelum tu loyang dibilas dengan air sekejap. Sendukkan perlahan - lahan masukkan dalam loyang.
9. Sejukkan di luar sekejap sebelum masukkan di dalam peti bawah.
10. Selepas disejukkan boleh potong dan siap untuk dihidangkan

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

 Resepi Mashed Potato Noxxa Mudah Siap 15 Minit Tekstur lembut Dan Sedap Macam KFC

BAHAN - BAHAN
6 biji ubi kentang russet
3/4 cawan susu segar ( nak guna susu cair boleh tapi lagi sedap susu segar, kalau guna heavy cream  lagi bertambah sedap )
2 1/2 sudu besar mentega
1 sudu teh serbuk lada putih
2 sudu besar serbuk pati ayam ( nak guna kiub ayam pun boleh )
1 cawan air

CARA - CARA
1. Ubi kentang dikupas dan dipotong dadu besar.
2. Masukkan ubi kentang dalam innerpot, masukkan 1  cawan air, kiub pati ayam atau serbuk pati ayam, serbuk lada putih dan mentega.
3. High pressure  selama 15 minit, pastikan tombol ke pressure sebelum tekan on.
4. Selepas bunyi bip, offkan dan tarik picu tombol ke steam untuk melepaskan tekanan.
5. Buka tudung dan ambil senduk kayu, tekan sampai hancur. tahap ni ubi kentang dah lembut sangat.
6. Masukkan susu segar ( kalau rajin panaskan sekejap susu tu ni versi malas nak panaskan sebab dalam periuk tu pun dah panas ) dan kacau. Suai rasa, jika tak cukup bahan perasa boleh tambah.
7. Siap !

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Bubur Nasi Daging Shitake Yang Mudah Dan Sedap 

BAHAN -BAHAN
Daging 1 kg
Bawang putih 4 ulas diketuk
1/2 sudu teh serbuk lada putih
Shitake kering rendam dengan air panas, buang tangkai dan potong dalam ketulan kecil
1/2 inci halia dicincang halus
1 cawan beras rendam sekejap
 1 Kiub pati daging knorr
Garam secukup rasa
8 cawan air atau secukupnya
Bawang goreng
Daun sup
Daun ketumbar atau daun bawang

CARA -CARA

1. Hp daging selama 50 minit, dan tekan button on, pastikan tombol ke pressure dan lepaskan wap ke steam setelah bunyi beep baru boleh buka tudung.
2. Keluarkan daging dan sejukkan.Hiris nipis daging yang dah masak tu..ikut suka nak banyak mana nak dimasukkan dalam bubur nanti
3. dalam bekas lain,tapis stok daging tadi dan masukkan semula ke dalam inner noxxa
4. Masukkan beras, bawang putih, halia, kiub pati daging, serbuk lada putih, shitake dan hirisan daging ke dalam inner noxxa
5. Tutup periuk dan high pressure selama 30 minit,tekan button on, pastikan tombol ke arah pressure
6. Setelah  bunyi beep, tarik picu tombol ke arah steam dan wap dilepaskan sampai habis,
7. Periuk boleh dibuka selepas injap tekanan jatuh
8. Kalau rasa nak tambah seperti serbuk lada putih atau bahan perasa lain boleh tambah ketika ini
9. Dengan mode stir fry, kacau sehingga bubur nampak pekat.
10. Dah nampak pekat, offkan stir fry siap untuk dihidangkan tabur daun bawang dan juga bawang goreng

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Singgang Tulang Noxxa Kelantan Style

BAHAN-BAHAN

 1 kg tulang rusuk daging lembu
 7 biji bawang merah dimayang
 4 ulas bawang putih dimayang
 1.5 inci lengkuas dihiris batang mancis
 1.5 inci halia hiris batang mancis
 1 sudu besar biji ketumbar, disangai dan hancurkan hingga halus
 4 keping asam gelugor
 5 biji cili kering dibasuh bersih
 air letak paras tulang
 garam dan perasa secukup rasa
 belacan sebesar ibu jari

CARA-CARA

1. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk noxxa dan high pressure selama 40 minit
2. Selepas bunyi beep, turn off dan biarkan injap turun sendiri tapi ambil masa lama sikit , kalau nak cepat nak makan terus boleh lepaskan pressure, letak garam secukup rasa dan hidangkan

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Daging Kurma Noxxa Yang Mudah Dan Sedap
Sumber: Lenny Marlynna

Bahan-bahan
700 gram daging batang pinang yang telah dipotong
1 paket rempah kurma
Bawang merah, bawang putih, halia dikisar dan garam secukup rasa dicampur dengan rempah kurma. Gaulkan dengan daging
Bawang besar, dimayang
Rempah ratus 4 sekawan
Kentang dan lobak merah
1/2 cawan santan pekat
2 cawan air
Garam secukup rasa
2 helai daun pandan diikat
2 keping asam keping
Air asam jawa secukupnya
Gula melaka

Cara-cara 
1) Set pada Noxxa pc pada "Stir-Fry" mode dan tekan on. Masukkan sedikit minyak dan tumis bawang besar dimayang dan rempah ratus 4 sekawan sehingga wangi.
2) Masukkan daging yang telah diperap tadi. Tumiskan seketika biar bahan tumisan nampak naik minyak sikit.offkan stir fry.
3) Masukkan daun pandan, gula melaka, air asam jawa dan asam keping.
4) Masukkan santan separuh kotak, air dan garam. Air lebih kurang paras daging.tudung periuk noxxa.
5) Set pada HP mode selama 25 minit. Pastikan tombol menghala ke arah Pressure.
6) Dah bunyi beep, tekan off dan putar tombol menghala ke steam untuk melepaskan wap.
7) kemudian, masukkan ubi kentang dan lobak  yang dipotong sederhana. tutup tudung.
8) High pressure selama 5 minit sahaja dan tekan on, selepas bunyi beep, tekan off, lepaskan wap, buka tudung, tekan stir fry nak bagi kuah tu sebati, didihkan dalam 2 - 3 minit.
9) dah siap, ubi kentang tak terlalu hancur kalau nak pegang pun.. boleh hidangkan.

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Bubur Lambuk Noxxa ( Mudah Dan Sedap )
SUMBER : MAMAQAIREEN 

BAHAN - BAHAN

200gram Daging (potong kecil2)
Sedikit Udang Kering (ditumbuk sehingga hancur) tak letak
Segenggam Lobak Masin (hiris nipis2) tak letak
3 ulas Bawang Merah (hiris)
2 ulas Bawang Putih (hiris)
2cm Halia (hiris)
3 beradik (kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga)
1/2 sudu teh Lada Hitam
2 batang serai yang diketuk
Sedikit Halba
Santan 1/2 cawan
Lobak merah yang didadu ikut suka
Daun pucuk midin ikut suka
1 kiub stok daging
Garam secukup rasa.
1 genggam Beras seeloknya rendam terlebih dahulu


CARA GUNA PERIUK NOXXA
1. Tekan stir fry, letak minyak sikit untuk menumis, dah nampak panas boleh letak kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan halba,  tumis sekejap, kemudian letak bawang merah, bawang putih,  halia dan serai. Kacau sampai naik bau
2. Dah garing sikit, boleh masukkan daging. Kacau sekejap biar sebati dan masukkan beras.Offkan stir fry
3. Masukkan santan dan stok daging. kacau sebati bersama beras
4. Masukkan lada hitam kasar dan lobak merah. Kacau sekejap untuk sebati
5. Tudung periuk noxxa dan tekan high pressure selama 30 minit dan putar tombol ke pressure
6. Selepas bunyi beep, putar tombol ke steam sehingga wap habis keluar baru boleh buka tudung.  kalau terasa nak tambah air boleh tambah.
7. Masukkan daun pucuk midin, tekan stir fry. Biarkan mendidih sekejap nak bagi sayur layu boleh offkan stir fry.tambah garam secukup rasa
8. Sedia untuk dihidangkan. Tabur bawang goreng sedap !

NOTA

1. Walaupun guna periuk noxxa, beras seeloknya direndam terlebih dahulu,, nak bagi beras tu cepat lembut bila direbus
2. Kalau nak lagi cantik simpan semalaman dalam peti,, buat macam ni beras kembang cantik.
3. Kenapa masa dalam 30 minit HP ? puas hati beras tu kembang dalam 30 minit sebab pernah buat bawah pada masa tu ..tak berapa nak cantik kembang

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

RESEPI  DAGING BUDU KELANTAN NOXXA YANG SEDAP

BAHAN-BAHAN
1kg daging dihiris sederhana tebal
5 - 6 tangkai lada kering
*2 ulas bawang merah jenis besar
*4 hiris lengkuas
*20 tangkai lada burung hijau dan merah ( kalau nak kurangkan boleh dalam 15 tangkai )
 1/2 keret gula melaka3 keping asam keping
2 botol budu cap ketereh  ( disyorkan guna jenama budu ini yang budu lain takut masin )

Ke semua bahan bertanda * diblend halus

CARA- CARA
1. Mula - mula sekali, letak ke semua bahan yang telah diblender, lada burung, daging, asam keping, dan gula melaka .Sebenarnya tak payah tambah air pun tak apa dah.Sebab daging tu keluarkan air, Tapi cuci lah bekas blender dengan air sikit, bazir pulak kan, sikit jerr jangan banyak
2. Kemudian kacau rata sekejap
3. Tekan high pressure selama 25 minit dan tekan button on4. Pastikan tombol ke pressure
5. Apabila dah bunyi beep, tekan button off dan putar tombol ke pressure untuk lepaskan wap baru boleh buka tudung. Ok dah siap, nampak macam banyak air sebab air daging ni turun. Jadi kita kena didihkan sekejap ya.
6. Tekan stir fry dan tekan button on tunggu sehingga mendidih. Biarkan didih sekejap sebab nak kurangkan air kuah sikit, baru masukkan budu. Sebenarnya kuah kena pekat sikit baru sedap.
7. Ok dah siap didih. Tekan button off. Lagi banyak hari lagi sedap sebab rasa dah masuk dalam daging. Bertambah nasi kalau makan.

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

RESEPI AIR ASAM PERUT LEMBU YANG MUDAH DAN SEDAP

Bahan - Bahan 

Perut lembu yang dah direbus sehingga empuk, siap dihiris menjadi kepingan kecil
2 keping asam gelugur
Belacan sebesar ibu jari ( kalau rasa nak tambah ikut citarasa masing -masing )
4 tangkai lada burung merah dan hijau ditumbuk halus ( kalau nak pedas boleh tambah )
Garam dan gula secukup rasa
Air asam jawa secukupnya
Jus limau nipis secukupnya
Bawang besar kuning yang dimayang secukupnya

Cara- cara

1. Perut lembu dicuci bersih dan direbus dalam noxxa high pressure dalam 30 minit. Keluarkan dari noxxa dan hiris
2. Masukkan perut lembu yang dah siap dihiris ke dalam periuk, dan masukkan lebihan air rebusan sekali.
3. Masukkan asam gelugur, belacan, lada burung yang telah ditumbuk, garam dan gula secukup rasa, jus limau nipis, air asam jawa dan bawang kuning yang telah dimayang.
4. Letak atas dapur dan panaskan sehingga ke semua mendidih.
5.  Kuah dah mesra, boleh rasa balik kot terkurang masin masam ke, boleh tambah ikut citarasa masing - masing ya. Kalau rasa nak tambah belacan tambah. Nak rasa masam lagi perah jus limau nipis.
6. Sedia untuk dihidangkan

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

CARA MASAK SUP TULANG DAGING NOXXA YANG MUDAH DAN SEDAP

Bahan - Bahan
Tulang lembu anggaran berat dalam 1 kg - 1 1/2 kg
1 paket Sup bunjut adabi
Air secukupnya
Daun sup secukupnya
Limau nipis potong
Lada burung merah dihiris bulat
2 biji ubi kentang dipotong 2
1/2 batang lobak merah dipotong bulat
Garam secukup rasa

Cara - Cara
1. Masukkan tulang lembu ke dalam periuk noxxa dan masukkan air nak dekat paras dengan tulang lembu.
2. Masukkan sup bunjut adabi
3. Putar tombol ke pressure, tekan high pressure 42 minit dan tekan on
4. Selepas bunyi beep, tekan off dan putar tombol ke steam untuk lepaskan wap
5. Dah siap. Keluarkan dan sejukkan sebelum dihiris. Kalau tulang tu tulang rusuk lembu tak payah ya
6. Masukkan isi daging yang telah dihiris kedalam air rebusan tulang dan masukkan ubi kentang.
7. Tekan high pressure selama 4 minit dan tekan on. Selepas bunyi beep tekan off dan sedia untuk lepaskan wap.
8. Buka tudung, kemudian tekan stir fry, tekan on dan masukkan potongan lobak merah.
9. Biarkan mendidih dalam 2 minit bagi lobak merah lembut sikit dan sup pun mesra. Dah siap, boleh tekan off.
10. Masukkan garam bukit secukup rasa. Selepas masak semua, baru masukkan garam.
11. Sedia untuk dihidangkan dengan daun sup dan letak perah jus limau nipis dan juga sedikit hirisan lada burung siam merah.


20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

RESEPI KERUTUK DAGING NOXXA YANG SEDAP LAGI MUDAH
Sumber : cikwankitchen

BAHAN - BAHAN

 1 kg daging potong besar (kalau guna rempah kurma akan dipanggil daging buku besar yang dihidangkan semasa kenduri) atau seekor ayam potong empat
1 biji kelapa ambil santan secukupnya
1/2 biji kelapa dibuat kerisek/ boleh beli yang ready made
1 peket rempah kerutuk/
3-4 sudu rempah kerutuk-bancuh dengan air panas
Rempah 4 sekawan secukupnya-cengkih, lawang, pelaga dan bunga lawang
5-7 biji cili kering
10 ulas bawang merah *
4 ulas bawang putih *
Seinci halia *
Seinci lengkuas diketuk ( wani tumbuk )
1 batang serai diketuk ( letak 2 batang )
Gula melaka/gula
Garam
Sedikit air asam jawa

Bahan bertanda * dikisar halus

Bahan nak tumis 
Rempah kasar 4 sekawan
2 ulas bawang merah dimayang
2 ulas bawang putih dimayang
sedikit halia dimayang

CARA - CARA DENGAN  PERIUK NOXXA

1. On kan stir fry, tuangkan minyak kalau nak masukkan terus semua bahan nak ditumis tu tak apa, nampak minyak dah panas, kacau sehingga bahan tumisan naik bau.
2. Masukkan daging dan kacau sehingga daging sebati dengan bahan tumisan. offkan stir fry
3. Masukkan air asam jawa dan serai diketuk, santan, gula melaka
4. Setkan high pressure 25 minit dan tekan butang on.. pastikan tombol pusing ke pressure.
5. Setelah bunyi beep, lepaskan tekanan dengan putar tombol pressure ke steam.. tunggu wap habis keluar dan injap jatuh boleh buka tudung
6. Masukkan ubi kentang ,tutup balik, tombol ke pressure dan tekan HP 3 - 4 minit. Selepas bunyi beep, tekan off,  lepaskan wap dan buka tudung
7. Onkan stir fry , letak kerisik dan biarkan mendidih sambil kacau sekali sekala .nak bagi pekat kuah.. kerisik tu penting ya,, wajib letak kalau tak letak , kuah tak akan pekat ... bahan yang penting dalam kerutuk
8. Bila nampak kuah dah pekat, off kan stir fry dan boleh masukkan garam secukup rasa.


20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

RESEPI DAGING KAMBING PANGGANG NOXXA YANG SIMPLE LAGI SEDAP
 Sumber : Deebpunyecite

 Bahan-bahan
6 potong daging kambing
6 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
1 inci halia (ditumbuk halus)
3 sudu sos tiram
3 sudu kicap manis
3 sudu madu
Sedikit serbuk lada hitam
Sedikit minyak zaitun
Garam secukup rasa

Caranya:
1. Perap kambing dengan ke semua bahan perapan
2. Kalau nak lagi sedap peraplah semalaman
3. Masukkan kesemua daging kambing ke dalam periuk Noxxa, tutup dan putar tombol pada Pressure dan tekan button High Pressure dalam masa 15 minit.
4. Selepas bunyi beep,tekan off kemudian lepaskan wap baru buka tudung
5. Tekan stir fry dan tekan on, keringkan air sampai nampak daging tu hangus - hangus ala bakar atas arang
6. Dah siap, boleh hidangkan terus

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Lai Chi Kang Noxxa Siap 15 Minit Hidangkan Sejuk Atau Suam

Bahan- Bahan
1/3 cawan barli
1 biji luo han guo
15 biji kurma merah kering
15 biji longan kering
6 - 7 strips buah kundur manis kering
4 biji kembang semangkuk  direndam sampai kembang
White fungus secukupnya direndam sehingga kembang
Gingko nuts secukupnya
Air 2.3 liter

Cara - Cara
1. Pecahkan sedikit kulit buah luo han guo macam dalam gambar, ini dah retak seribu sikit ni. nanti masa proses merebus, luo han guo ni lah yang air nya jadi warna kegelapan tu, untuk pengetahuan semua, buah luo han guo ni, ia naturally sweet. manis - manis buah gitu ya. nanti air rebusan ke semua bahan memang natural sweet tak payah tambah gula pun tak apa dah. kata nak sihat kan
2. Ke semua bahan lain tu basuh sekejap dan toss kan. kundur kering manis pun dah manis sebab bergula
3. Kembang semangkuk yang telah direndam, rujuk gambar, nampak dah kembang semua,tapi kat tengah setiap buah tu ada biji, ambil yang kembang luar, biji tu buang, jangan rebus sekali dengan biji - biji pulak ya.. buang air perlahan-perlahan dan sejatkan dalam penapis.
4. Masukkan ke semua bahan ke dalam noxxa, masukkan air,tutup periuk dan tekan high pressure selama 15 minit, tekan button on, pastikan tombol ke pressure
5. Selepas bunyi beep, tekan button off dan putar tombol ke steam untuk lepaskan wap sehingga habis, baru boleh buka tudung, siap sedia untuk dihidangkan

NOTA : selepas masak, buka tudung, biarkan dalam keadaan terbuka lama sikit, jangan tinggal dalam keadaan tertutup, bagi wap panas keluar sekejap, sebab nak elakkan barli menjadi terlalu kembang. kalau terlalu kembang tak sedap pulak. high pressure dalam 15 minit tu dah elok masaknya

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Sup Cendawan Noxxa Yang Mudah Dan Sangat Sedap

BAHAN-BAHAN
15 biji cendawan shitake
15 biji cendawan tiram
1 biji bawang besar
1 sudu teh lada hitam ( wani guna parsley kering atau tak kisah nak guna herba oregano,atau seangkatan dengannya )
2 buku kiub ayam ( wani guna serbuk pati ayam )
 500 ml susu segar atau 250 ml whipping cream
6 sudu makan tepung gandum ( sukat guna sudu sukatan metrik )
2 sudu makan mentegagaram secukupnya
air tapis 2500ml (atau kalau guna stok ayam tak payah guna kiub ayam, kalau guna stok ayam 2500ml juga)
3 ulas bawang putih cincang

CARA DENGAN PERIUK NOXXA
1. Masukkan mentega dan on kan "stir fry.tunggu hingga mentega cair dan terus masukkan bawang putih diikuti dengan bawang besar.
2. Kacau hingga wangi dan masukkan tangkai cendawan terlebih dahulu, kacau sampai nampak tangkai cendawan layu dan mesra dengan bawang.
3. Kemudian baru masukkan, baki cendawan  yang bahagian payung dan kacau lagi sampai layu.
4. Off kan "stir fry" sekejap.masukkan kesemua cendawan yang telah ditumis perlahan tadi ke dalam blender. ambil sebahagian air dalam 500ml ,tuangkan ke dalam blender dan masukkan tepung gandum. blend sehingga sebati.
5.Tuangkan balik yang telah diblend ke dalam periuk noxxa, dan masukkan serbuk pati ayam dan baki air 2 liter, ( kalau guna kiub ayam blend letak semasa cara nombor 4 lagi, takut tak sebati masa nak kacau ).
6. Masukkan parsley kering dan kacau sebati sekejap baru on kan " stir fry", kacau sampai mendidih dan pekat.
7. Off kan "stir fry" sekejap dan baru tuangkan susu segar atau whipping cream.on kan balik stir fry dan kacau sampai sebati dan mendidih.
8. Akhir sekali off kan stir fry dan kalau rasa tak masin boleh masukkan garam secukup rasa. Kalau rasa nak buat "slow cook", tak kisah, tekan je berapa jam limit sehingga 3 jam.
9. Siap boleh hidangkan bersama roti bakar. sedap !

20 Resepi Periuk Noxxa Yang Sangat Mudah, Cepat Dan Jimat Masa

Resepi Sup Potato Dan Carrot Noxxa Sedap Dimakan Bersama Dengan Puff  Pastry

BAHAN- BAHAN
2 1/2 cawan air
3 biji ubi kentang russet dibuang kulit ,dipotong dadu sederhana besar
1 batang lobak merah  dibuang kulit dan didadu
2 sudu besar mentega
1 biji bawang besar sederhana dipotong dadu atau kalau yang besar separuh
3 ulas bawang putih dicincang halus
1 sudu teh serbuk lada putih
2 sudu besar serbuk pati ayam guna kiub pun boleh
1 sudu teh daun parsley kering atau nak letak herba lain pun boleh oregano, italian herbs dan lain - lain
2 keping slice cheese
Kulit puff pastry jenama kawan secukupnya

CARA - CARA
1. Tekan stir fry dan On kan periuk noxxa , letak mentega , nampak cair terus letak bawang putih dan bawang besar
2. Kacau sampai wangi dan sekadar nampak layu, off kan sekejap.
3. masukkan ubi kentang dan lobak merah, air, serbuk lada putih serta serbuk pati ayam
4. Tutup periuk noxxa, tekan high pressure selama 15 minit dan tekan on .lepas bunyi beep, tekan off, tarik picu tombol untuk lepaskan tekanan baru buka tudung
5. Kacau sikit tapi masih nampak ketulan ubi kentang tu , jangan hancur sangat, nak ada ketulan - ketulan sikit
6. Masukkan daun parsley kering, kacau rata dengan kepanasan yang ada.masa ni kalau rasa nak tambah garam ke, serbuk lada putih ke boleh tambah ikut citarasa
7. Akhir  sekali, masukkan slice cheese dan kacau rata sampai cheese cair
8. Sup nampak pekat sikit bila letak slice cheese

CARA - CARA NAK BAKAR PUFF PASTRY

1. Keluarkan puff pastry daripada peti tapi jangan sampai lembik..ataupun letak dalam peti bawah biar ia sejuk tapi masih keras bukan lembik..
2. 1 biji telur dipukul ringan, tuangkan sup ke dalam ramekin tapi jangan penuh, sapu keliling ramekin dengan telur yang telah dipukul ringan tadi
3. Ambil kulit puff pastry dan belah bentuk X kat tengah nak bagi udara keluar dan kembang dengan elok masa bakar nanti
4. kemudian, tutupkan  dengan kemas permukaan ramekin sambil tekan - tekan keliling ramekin
5. Sapukan lebihan telur ke atas puff pastry  sebagai " glazing" nanti nampak berkilat lepas bakar
6. Bakar pada suhu 170 C atau ikut oven masing - masing yang telah dipanaskan dalam 25 minit sampai permukaan puff pastry nampak keperangan
7. Hidangkan panas !

Baca sini >>> Cara Rebus Ketupat Pulut Noxxa Lagi Cepat Dan Mudah
Baca sini >>> Cara Rebus Laksa Noxxa 6 Minit, Tak Payah Rendam Hasilnya Laksa Lembut Sangat
Baca sini >>> Cara Masak Pulut Bersantan Noxxa

This post have 5 komentar

avatar
Umi Nazrah delete 2 Jun 2019 4:53 PTG

ada noxxa semua menjadi. asalkan si pembeli tu guna kan je. hehehehhee

Reply
avatar
Warisan Petani delete 2 Jun 2019 10:27 PTG

Semuanya jadi mudah dengan periuk noxxa

Reply
avatar
Siti Nurhayati Dollah delete 4 Jun 2019 12:09 PTG

Okay save dulu. Nanti lepas raya boleh gunakan resepi ni. Misi banyakkan masakan rumah dan bawa bekal ke pejabat.

Reply
avatar
Nadhie Wueen delete 5 Jun 2019 12:23 PG

wahhh.. banyak betul resepi boleh buat dengan periuk ni. memang serba guna/hihi

Reply
avatar
adianiez AIDA delete 19 Jun 2019 2:28 PTG

ada pressure cooker, semua jadik cepat dan sedap ekk.
aida amik resepi mash potato ekk. mohon diizinkan :)

Reply


EmoticonEmoticon

Next article Next Post
Previous article Previous Post

Follow Me On Instagram