18 Soalan Lazim Berkaitan Covid 19, Jenis - Jenis Vaksin Dan Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia

18 Soalan Lazim Berkaitan Covid 19, Jenis - Jenis Vaksin Dan Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia | Salam semua, sejak Pelan Imunisasi Covid -19 Kebangsaan dilancarkan. Hingga ke hari ini macam - macam cerita dengar, tapi alhamdulillah masuk sampai bulan 6 ini dah makin ramai peningkatan orang yang mendaftar untuk vaksin. PPV bergerak pun dah mula turun padang. Dah mula nampak kesedaran pentingnya vaksin. Walaupun ada lagi yang masih tidak berdaftar. Dan ada juga segelintir yang anti vaksin. Jangan la pulak menghasut orang lain. Terutamanya pergi hasut warga emas.  


18 Soalan Lazim Berkaitan Covid 19, Jenis - Jenis Vaksin Dan Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia
Kredit: Sinar Harian 

Pentingnya vaksin sebab kita nak mencapai imuniti kelompok. Nak hidup bebas seperti dulu - dulu, jom daftar vaksin. 

Tahun kedua kita berperang dengan virus Covid - 19, dah timbul pulak varian baru. Ujian yang Allah bagi, benda tak nampak tapi nampak impaknya dah ramai orang atas muka bumi dah mati. Yang ini lagi merisaukan sis. Disebabkan masih ramai yang tidak membaca atau tidak tahu info pasal vaksin, sis kongsikan soalan dan jawapan terus. 

Senang untuk korang yang rasa macam tertanya soalan - soalan seperti di bawah. Kadang - kadang orang kita ni buat relaks, tak nak ambil kisah sedangkan virus ini boleh membawa maut. 

Soalan dan jawapan  ini semua bukan untuk menakutkan tapi baik kita bersedia di atas segala kemungkinan sebab itu kena peka sangat dengan gejala - gejala yang muncul disebabkan Covid. 

1. APA ITU COVID-19?

Penyakit COVID-19 disebabkan oleh coronavirus yang disebut SARS-CoV-2.

Gejala mungkin muncul 2 hingga 14 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala yang mungkin dialami adalah:

• demam atau menggigil
• batuk
• sesak nafas
• keletihan
• sakit otot atau badan
• sakit kepala
• kehilangan deria rasa atau bau
• sakit tekak
• kesesakan atau hidung berair
• loya atau muntah atau
• cirit-birit.

2. SIAPAKAH GOLONGAN BERISIKO TINGGI UNTUK MENDAPAT JANGKITAN COVID19?

Golongan berisiko adalah:

• Kanak-kanak
• Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas
• Pesakit dengan penyakit kronik
• Pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah
• Wanita hamil

18 Soalan Lazim Berkaitan Covid 19, Jenis - Jenis Vaksin Dan Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia


3. APAKAH KEPENTINGAN MENGAMBIL VAKSIN COVID 19?

Vaksin COVID-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit COVID-19. Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang lebih teruk.

Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang berisiko yang tidak layak menerima vaksinasi.


4. APAKAH JENIS VAKSIN YANG AKAN DIGUNAKAN DI MALAYSIA?

Terdapat beberapa jenis yang akan digunakan di Malaysia iaitu:

• Vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech
• Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Astra Zeneka
• Vaksin Covid-19 inactivated keluaran Sinovac
• Vaksin Covid-19 recombinant viral vector keluaran CanSino
• Vaksin Covid-19 viral vector keluaran Gamaleya


5. SIAPAKAH YANG LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZERBIONTECH)?

Semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas layak menerima vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech).

Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 seperti warga emas, pesakit dengan masalah perubatan seperti pesakit jantung, kencing manis, darah tinggi, asthma, kanser dan sebagainya.


6. SIAPA YANG TIDAK LAYAK MENERIMA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZERBIONTECH)?


Anda tidak layak menerima vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) sekiranya anda mempunyai:

• Sejarah reaksi alahan teruk atau sejarah anafilaksis selepas menerima dos pertama vaksin mRNA seperti vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech)

Nota: Reaksi alahan dianggap teruk sekiranya individu tersebut perlu diberi rawatan di hospital

• Reaksi alahan kepada sebarang kandungan vaksin mRNA COVID-19 walaupun tidak teruk (reaksi alahan yang berlaku dalam tempoh 4 jam selepas menerima suntikan vaksin mRNA COVID-19). Individu yang mengalami reaksi ini setelah menerima dos pertama vaksin mRNA COVID-19, tidak akan diberikan dos kedua; atau

• Sejarah reaksi alahan teruk atau sejarah anafilaksis setelah mengambil sebarang ubat atau makanan atau kepada bahan yang tidak diketahui.


7. APAKAH HUKUM PENGAMBILAN VAKSIN COVID-19?

Majlis Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020 mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

8. ADAKAH SAYA DIBERI PILIHAN UNTUK MEMILIH JENIS VAKSIN COVID-19?

Tidak. Penerima vaksin tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang akan diterima. Ianya bergantung kepada bekalan stok sedia ada di pusat vaksinasi.


9. ADAKAH VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH) SELAMAT PENGGUNAANNYA DI MALAYSIA?

Ya, vaksin ini selamat digunakan kerana ia telah berdaftar dan telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari 2021 untuk penggunaannya di Malaysia.

Pihak Food and Drug Administration (FDA) telah membenarkan penggunaan Vaksin COVID19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) sebagai langkah kecemasan untuk mencegah COVID-19 dalam kalangan individu berumur 16 tahun dan ke atas di bawah Penggunaan Kecemasan Kebenaran (EUA).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memperakui bahawa vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) boleh digunakan bagi tujuan kecemasan pada 31 Disember 2020.

Ia juga telah diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan di USA, UK, negara-negara Eropah, Israel dan Singapura. Malah sebanyak 48 negara telah memperakui penggunaan vaksin ini.

18 Soalan Lazim Berkaitan Covid 19, Jenis - Jenis Vaksin Dan Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia


10. APAKAH YANG PERLU SAYA MAKLUMKAN KEPADA PETUGAS KESIHATAN SEBELUM MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZERBIONTECH)?

Maklumkan kepada petugas kesihatan sekiranya anda:

• mempunyai sejarah alahan yang teruk
• mengalami masalah pendarahan (bleeding disorder) seperti Haemophilia, Idiopathic Thrombocytopenic Purpura (ITP) dan sebagainya
• sedang dalam rawatan ubatan pencair darah
• sedang mendapat rawatan yang merendahkan sistem imun badan
• sedang mengandung atau merancang untuk hamil
• sedang menyusukan bayi atau
• telah menerima vaksin COVID-19 daripada jenama yang lain

Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar terlebih dahulu untuk menentukan kesesuaian untuk menerima vaksin COVID-19.


11. APAKAH PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN SELEPAS MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19?

Setelah menerima suntikan vaksin COVID-19, penerima vaksin perlu:

1. Berada di ruang pemerhatian yang ditetapkan sekurang-kurangnya selama 15 minit.
2. Anda mesti memaklumkan kepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut selepas menerima vaksin COVID-19:

• Kesukaran bernafas
• Pembengkakan muka, bibir dan tekak
• Denyutan jantung yang sangat cepat
• Ruam teruk timbul di seluruh badan
• Merasa pening dan lemah tubuh badan

3. Penerima vaksin perlu sentiasa mengamalkan norma baharu dan mengikuti langkah pencegahan penyakit COVID-19.

4. Anda perlu menyimpan kad vaksinasi yang diberi oleh anggota kesihatan. Apabila anda mendapat dos pertama, anda akan diberi kad vaksinasi untuk menunjukkan bila anda perlu mendapatkan dos kedua Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.


12. APAKAH BAHAN-BAHAN YANG TERKANDUNG DALAM VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?

Vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) adalah jenis mRNA di mana bahan utama adalah mRNA, lipid, gula, garam. 

Perincian kandungan vaksin adalah seperti berikut: mRNA, lipids ((4- hydroxybutyl)azanediyl)bis(hexane-6,1-diyl)bis(2-hexyldecanoate), 2 [(polyethylene glycol)- 2000]-N,N-ditetradecylacetamide, 1,2-Distearoyl-sn-glycero-3-phosphocholine, and cholesterol), potassium chloride, monobasic potassium phosphate, sodium chloride, dibasic sodium phosphate dihydrate, and sucrose.


13. BAGAIMANA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH) DIBERIKAN?

Vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech) akan diberikan secara suntikan ke dalam otot seperti di otot bahu.

Anda akan menerima sebanyak dua (2) dos vaksin dalam selang masa tiga (3) minggu (21 hari).

Anda hendaklah menerima kedua-dua dos bagi memastikan perlindungan optima. Bagaimanapun, vaksin ini tidak memberi jaminan untuk melindungi semua orang daripada jangkitan COVID-19.


14. ADAKAH SAYA AKAN DILINDUNGI SEPENUHNYA SELEPAS MENERIMA VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?

Vaksin akan mula menunjukkan keberkesanan melalui peningkatan antibodi dalam badan bermula dari hari ke-12 selepas dos pertama diberikan. Pembentukan antibodi akan meningkat secara mendadak selepas pemberian dos kedua. Ini bermakna, seseorang akan dilindungi secara optima selepas menerima kedua-dua dos untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit COVID-19 yang serius.

Walaupun seseorang itu telah menerima dos lengkap vaksin, beliau masih perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti mengamalkan 3W iaitu Wash, Wear, Warn dan mengelakkan 3C iaitu mengelakkan Confined space (Sempit), Crowded Place (Sesak) dan Close conversation (Sembang dekat).

Walau bagaimanapun, pada masa ini, tempoh perlindungan jangka panjang terhadap COVID-19 masih belum diketahui.


15. APAKAH KESAN SAMPINGAN VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?

Vaksin ini adalah selamat dan kesan sampingan yang telah dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara.

Kesan sampingan ringan yang kerap dilaporkan adalah seperti berikut:

• sakit di tempat suntikan
• penat (tiredness)
• sakit kepala
• sakit otot
• menggigil
• sakit sendi
• demam
• pembengkakan di tempat suntikan
• kemerahan di tempat suntikan
• loya
• merasa tidak sihat
• pembengkakan kelenjar limfa dan
• kesan-kesan sampingan yang mungkin akan dilaporkan dari semasa ke semasa.

Walaupun sangat jarang berlaku, ada kemungkinan Vaksin COVID-19 (Pfizer-BioNTech) boleh menyebabkan reaksi alahan yang teruk.

Gejala alahan yang teruk biasanya berlaku dalam tempoh beberapa minit hingga satu jam setelah menerima Vaksin COVID-19 COMIRNATY (Pfizer-BioNTech).


16. APAKAH YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA SAYA MENGALAMI KESAN SAMPINGAN SELEPAS SUNTIKAN?

Sekiranya anda mengalami kesan sampingan selain yang telah dinyatakan di atas, sila lapor ke klinik kesihatan terdekat dan dapatkan rawatan dengan segera. Terdapat kemungkinan kesan sampingan yang lain yang belum dilaporkan boleh berlaku.

18 Soalan Lazim Berkaitan Covid 19, Jenis - Jenis Vaksin Dan Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia

 


17. BOLEHKAH SAYA MENOLAK UNTUK MENERIMA SUNTIKAN VAKSIN COVID-19 COMIRNATY (PFIZER-BIONTECH)?

Anda boleh memilih untuk tidak menerima vaksin kerana penerimaan vaksin COVID-19 ini adalah secara sukarela.

Sekiranya anda adalah petugas barisan hadapan, mempunyai penyakit kronik dan warga emas, penerimaan vaksin ini boleh mengurangkan risiko keterukan penyakit apabila anda dijangkiti.


18. BAGAIMANA SAYA BOLEH MENDAPATKAN MAKLUMAT LEBIH LANJUT BERKAITAN VAKSIN?

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila bertanya kepada petugas kesihatan berhampiran. Anda juga boleh melayari laman sesawang yang mengandungi maklumat yang lebih tepat dan dipercayai seperti:

1. https://www.vaksincovid.gov.my/

2. https://npra.gov.my/

3. WHO: https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/covid-19- vaccines

4. CDC : https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/vaccines/index.html


Ok faham soalan dan jawapan di atas. Banyak lagi soalan lazim yang dikeluarkan, korang boleh rujuk link di atas ya. Biar tahu dan jangan keliru, kalau kita sendiri tak nak ambil info, kita sendiri yang susah. Dari semasa ke semasa info tentang vaksin dan Covid 19 akan dikemaskini di sana.

Sedih dengar kes makin meningkat, kes kematian pun macam tak percaya masuk dah 3 ribu. Jadi, tolong jaga diri korang, jaga SOP, kalau yang ada mak abah di kampung, minta tolong daftar vaksin untuk mak abah di kampung. 

Cara Vaksin Berfungsi Di Dalam Tubuh Manusia 


1. Vaksin Covid 19 disuntik di dalam badan. 
2. Hasil suntikan vaksin, sistem imuniti badan akan menghasilkan antibodi yang spesifik terhadap virus Covid 19.
3. Vaksin meningkatkan tahap imuniti badan tanpa menyebabkan jangkitan penyakit. 
4. Hasil daripada suntikan Vaksin, sistem antibodi bertindak ke atas virus Covid 19 sekiranya terdedah kepada virus Covid 19. 












Post a Comment

Previous Post Next Post