-->

Saturday, 29 February 2020

author photo
Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 | Teks Ucapan Penuh Dari Dr Mahathir | Salam semua, sejak masuk tahun 2020 sampai ke bulan ini, isu wabak Covid 19 sudah menjadi isu di seluruh dunia termasuk lah Malaysia. Isu - isu semasa bukan sis tak nak ambil tahu, kena lah ambil tahu juga lebih - lebih lagi ekonomi negara sekarang yang tidak berapa baik sejak isu Covid 19 melanda. Baru - baru ini, Dr Mahathir yang sekarang ini adalah perdana menteri interim telah mengeluarkan ucapan penuh mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi 2020.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 | Teks Ucapan Penuh Dari Dr Mahathir

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 | Teks Ucapan Penuh Dari Dr Mahathir 

1. Pertama sekali, saya ingin ucap setinggi-tinggi penghargaan kepada para doktor, jururawat, kakitangan perkhidmatan kesihatan, pegawai imigresen dan pegawai lain di barisan hadapan yang bertungkus lumus melindungi Malaysia dari wabak Coronavirus 2019 (COVID-19).

Penularan penyakit COVID-19 di Malaysia telah terkawal, dengan semakin ramai pesakit telah beransur pulih daripada penyakit ini.

2. Walaupun kesan COVID-19 ketika ini adalah terkawal, namun wabak ini telah memberikan impak besar kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

3. Justeru, Kerajaan akan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak ini dapat ditangani dengan berkesan. Dalam masa yang sama, beberapa strategi dan rancangan juga akan dilaksanakan bagi memastikan ekonomi negara di landasan yang mampan.

RM20 billion Pakej Rangsangan Ekonomi

4. Pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM20 bilion ini ditunjangi oleh tiga (3) strategi seperti
berikut:

Strategi Pertama : Menangani impak COVID-19;
Strategi Kedua : Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat; dan
Strategi Ketiga : Menggalakkan pelaburan berkualiti
 A. Strategi Pertama: Menangani Impak COVID-19


5. Antara impak serta merta terhadap ekonomi akibat penularan COVID-19 di peringkat serantau adalah penurunan kedatangan pelancong. Kesan yang lebih ketara turut membabit hotel, penerbangan, syarikat pelancongan dan ke atas industri peruncitan secara meluas.

6. Bagi menangani keadaan ini, Kerajaan akan mengambil tiga langkah pendekatan dalam strategi yang pertama tersebut. Pertamanya, memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan.

Keduanya, bantuan kepada individu yang terjejas dan ketiganya, merangsang permintaan dalam industri pelancongan.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 | Teks Ucapan Penuh Dari Dr Mahathir

Memudahkan Aliran Tunai

7. Bagi membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19, Kerajaan mencadangkan bagi tempoh enam (6) bulan mulai April hingga September 2020 tindakan seperti berikut:

Pertama
Membenarkan penundaan ansuran bulanan cukai pendapatan bagi perniagaan yang terjejas dalam sektor pelancongan. Di samping itu, syarikat yang terjejas turut dibenarkan menyemak semula anggaran keuntungan tahun 2020 bagi menentukan ansuran bulanan cukai pendapatan tanpa dikenakan penalti;

Kedua
Menyediakan diskaun sementara selama enam (6) bulan sebanyak 15 peratus daripada bil elektrik secara bulanan bagi hotel, agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pusat membeli belah, pusat konvensyen dan pameran;

Ketiga
Mengecualikan levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia bagi hotel dan syarikat pelancongan.

Keempat
Mengecualikan cukai perkhidmatan bagi hotel. Walau bagaimanapun inisiatif ini akan bermula lebih awal iaitu pada bulan Mac hingga Ogos 2020;

8. Kerajaan juga akan menyediakan tabungan pinjaman kewangan kepada syarikat yang terkesan, iaitu:

Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan Kemudahan Jaminan Bantuan Istimewa berjumlah RM2 bilion, terutamanya pembiayaan modal kerja untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada kadar 3.75 peratus.

Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memperuntukkan RM200 juta kemudahan mikro kredit pada kadar 4 peratus. Di samping itu, proses kelulusan dana sedia ada di Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1.5 bilion akan dipercepatkan.

9. Semua bank dikehendaki mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman. BNM akan memantau pelaksanaan dan memastikan pematuhan di kalangan institusi kewangan.

10. Pihak industri seperti perhotelan dan pusat membeli-belah digalakkan untuk turut memainkan peranan dengan menawarkan diskaun dan mengurangkan kadar sewa premis.

11. Malaysia Airport Bhd (MAHB) akan mengurangkan kadar sewa premis kepada penyewa di lapangan terbang, dan juga akan mengurangkan caj pendaratan dan parkir.

Bantuan Kepada Individu Yang Terkesan

12. Kerajaan mengakui kadar ketibaan pelancong yang berkurangan telah memberi impak negatif kepada pihak-pihak yang yang bergantung kepada industri pelancongan. Kerajaan akan memberikan bayaran secara ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar.

13. Sebagai tanda penghargaan kepada petugas awam barisan hadapan di dalam memerangi COVID-19, kerajaan akan memberi elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor serta kakitangan perubatan, dan RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terbabit.

Bantuan elaun khas ini berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak ini berakhir

14. Sehingga ini, Kementerian Kesihatan telah membelanjakan sebanyak RM150 juta bagi pembelian peralatan, ubat dan barangan guna pakai dalam usaha pengawalan wabak COVID19.

Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan wabak COVID-19 dapat diuruskan dengan baik dan terkawal.

Penambahbaikan Modal Insan

15. Kerajaan juga menggalakkan majikan supaya menambah pelaburan dalam meningkatkan produktiviti modal insan pada ketika aktiviti ekonomi perlahan. Oleh itu, Kerajaan akan menawarkan potongan berganda kepada perbelanjaan ke atas latihan bagi sektor pelancongan. Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta geran-padanan kepada

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) untuk membiayai tambahan 40 ribu pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan.

16. Kerajaan seterusnya akan memperuntukkan RM50 juta untuk subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi. Insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 100,000 rakyat Malaysia.

17. Pekerja yang terjejas boleh bergantung kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dananya kini berjumlah RM1.1 bilion. Selain itu, SIP akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000.

Sebagai tambahan, elaun latihan harian sebanyak RM30 sehari juga disediakan kepada pelatih.

Merangsang Sektor Pelancongan

18. Bagi merangsang industri pelancongan pula, Kerajaan akan menyediakan inisiatif seperti berikut:

Pertama
Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik;

Kedua
Rakyat Malaysia diberi baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen.

Di samping itu, Kerajaan juga akan menyediakan geran padanan untuk mempromosi pelancongan. Peruntukan sebanyak RM500 juta disediakan untuk langkah ini; dan

Ketiga
Melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan.

B. Strategi Kedua: Memangkin Pertumbuhan Berteraskan Rakyat

Bantuan Rakyat

19. Selain industri pelancongan, sektor lain seperti pengeksportan turut terjejas akibat ganguan rantaian bekalan. Banyak kilang dan pelabuhan di negeri China tidak beroperasi akibat wabak COVID-19 ini.

20. Justeru, untuk merangsang permintaan domestik, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan secara langsung kepada rakyat melalui langkah-langkah berikut:

Pertama
Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus. Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuatkuasa sehingga akhir tahun ini.

Kedua
Awalkan bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup bulan Mei sebanyak RM200 ke bulan Mac 2020.

Ketiga
Kerajaan juga akan membayar kepada setiap penerima BSH tambahan RM100 dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan seterusnya tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

21. Untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, Kerajaan akan mengambil inisiatif berikut:

Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh BNM pada kadar 3.75% bertujuan bagi menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

RM10 juta kepada FAMA untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga dapat dikurangkan.

Geran sebanyak RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan mereka di dalam platform e-dagang.

Peruntukan tambahan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang.

Stimulus Luar Bandar

22. Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion bagi pelaksanaan segera kerja-kerja penyelenggara dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh negara, terutamanya di luar bandar.

Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat ke peringkat akar umbi, peruntukan akan disalurkan melalui usahasama dengan Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.

23. Projek-projek yang terbabit perlu dilaksanakan dengan segera agar dapat memberi impak yang positif untuk merangsangkan ekonomi. Bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan semua projek, Kementerian Kewangan akan memudahkan tatacara kewangan khas untuk tahun 2020 seperti berikut:

Pertama
Meningkatkan nilai untuk perolehan melalui kaedah cabut undi dari RM50,000 kepada RM100,000 dan kaedah sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000;

Kedua
Memastikan kementerian menyalurkan peruntukan yang secukupnya kepada agensi pelaksana masing-masing menjelang suku pertama tahun 2020. Seterusnya, Kementerian Kewangan akan memantau pematuhan kepada jadual perolehan agar aktiviti dilaksanakan mengikut jadual.

C. Strategi Ketiga: Menggalakkan Pelaburan Berkualiti

24. Untuk meningkatkan lagi keyakinan masyarakat perniagaan, Kerajaan komited untuk memastikan kesinambungan pelaburan awam dan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan tahun 2020.

25. Sebagai tambahan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan agensi awam akan mempercepatkan projek pelaburan untuk 2020, termasuk:

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) akan membuka untuk bidaan janakuasa tenaga solar 1,400MW. Ini akan membabitkan pelaburan swasta bernilai RM5 bilion dan menjana pekerjaan untuk 25,000 pekerja; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan melabur sebanyak RM3 bilion untuk kerja berkaitan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara; dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang untuk melabur sebanyak RM13 bilion, termasuk mempercepatkan projek seperti lampu jalan LED, grid transmisi dan pemasangan panel solar bumbung.

26. Demi meningkatkan daya saing, Kerajaan akan mempromosikan pelaburan sektor swasta yang bernilai tambah yang lebih tinggi melalui;

Pertama
Kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta untuk Dana Pelaburan Bersama dengan pelabur swasta pada padanan sekurang-kurangnya 1 nisbah 3 yang akan menjadikan keseluruhannya RM2 billion untuk pelaburan di peringkat awal dan awal pertumbuhan;

Kedua
Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia akan mengecualikan bagi tempoh 12 bulan, yuran penyenaraian di papan Leading Entrepreneur Accelerator Platform (LEAP) dan di papan Access, Certainty, Efficiency (ACE), serta syarikat yang bermodal pasaran kurang RM500 juta yang ingin tersenarai dalam papan utama;

Ketiga
BNM akan menyediakan Kemudahan Automasi dan Pendigitalan PKS bernilai RM300 juta;

Keempat
Kerajaan akan membenarkan Elaun Modal Dipercepatkan selama tempoh dua tahun untuk perbelanjaan ke atas mesin dan kelengkapan, termasuk ICT.

Kelima
Kerajaan akan menyediakan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian premis perniagaan sehingga RM300,000.

Keenam
Mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan dan pembelian peralatan untuk operasi pelabuhan untuk tempoh 3 tahun bermula 1 April 2020;

27. Pada tahun 2003, Malaysia pernah mengalami situasi yang sama ketika penularan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang melanda Asia Timur. Ia telah menyebabkan jumlah pelancong merosot dengan ketara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menurun daripada 7.1 peratus pada suku ketiga tahun 2002 kepada 4.6 peratus bagi suku ketiga 2003.

Namun begitu, susulan daripada pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif, kedudukan ekonomi telah mencapai tahap pemulihan yang kukuh kepada 6.5% pada suku ke-empat 2003.

Insya-ALLAH, ini boleh kita ulangi dengan pakej rangsangan ini.

28. Berikutan senario ekonomi global dan impak Covid-19, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2020 diunjurkan dalam julat 3.2 peratus hingga 4.2 peratus. Saya yakin pelaksanaan pakej ini akan membolehkan ekonomi negara meningkat pada tahap tertinggi dalam julat tersebut.

Di dalam rangka pakej rangsangan ini, kerajaan turut mengambil berat prestasi fiskal negara. Defisit fiskal dianggarkan meningkat sedikit kepada 3.4 peratus daripada KDNK berbanding anggaran asal 3.2 peratus.

29. Kerajaan juga menyedari bahawa pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi tidak boleh dilaksanakan hanya satu pihak sahaja. Oleh yang demikian, kerajaan menyeru pihak swasta

secara langsung dan tidak langsung turut terbabit bagi memastikan pakej ini berjaya.

30. Pada masa yang sama, kerajaan berharap rakyat terus cekal, berani dan tekun bagi menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang dan menjadi lebih mampan dalam melalui episod ini.

31. Insya-ALLAH, dengan kerjasama, usaha yang gigih dan jati diri yang kukuh, Negara tercinta kita akan kembali dengan lebih makmur dan berdaya tahan.

Sumber : BH Online

1 komentar:

avatar
Shahada Fauzi delete 1 March 2020 at 20:41

semoga lepas ni ekonomi makin pulih la kan kak wani..

Reply


EmoticonEmoticon

Next article Next Post
Previous article Previous Post

Nuffnang