Cara Buat Ketupat Palas Manis Dan Lemak Versi Kelantan Sedap Untuk Raya

Cara Buat Ketupat Palas Manis Dan Lemak Versi Kelantan Sedap Untuk Raya | Salam semua, setiap kali menjelang Hari Raya, mula lah keluar pelbagai juadah tradisi yang sememangnya kena hidang untuk Hari Raya nanti. 

Di Kelantan, antara juadah tradisi yang mesti wajib hidang atas meja, mestilah ketupat palas Kelantan.

Arwah nenek sebelah mak dan abah sis memang pandai buat ketupat palas ni. Cuma tak menurun dekat cucu. Sebab mak sis bukan tak belajar tapi dah lama tak buat dah tak ingat dah.  


Begitulah kan, kita ni tengok orang tua dulu, jadi tak ada tradisi sangat kat rumah ni nak bungkus ketupat palas.

Biasanya, mak sis tempah saja lah, sekarang ramai dah meniaga ketupat palas ni. Nak buat sendiri tu memang mencabar la jugak dan memang makan masa nak buat ketupat palas. 

Sebab banyak langkah nak kena buat dari proses rendam beras pulut sampai nak bungkus ketupat palas.

Sekarang ni pun, yang meniaga buat untuk ketupat palas Kelantan frozen pun ada. Kat rumah nanti, rebus jer sendiri tiap kali nak makan. 

Bukan musim Hari Raya pun, memang ada jual jugak ketupat palas ni di pasar - pasar pagi. Tak ada lah kempunan nanti Hari Raya saja nak makan kan. 

Hari Buat "Tupak"

Tupak maksudnya ketupat lah, sebab itu dialek dalam Kelantan. Ramai orang luar Kelantan tak faham maksud Tupak ni. 

Jadi,sehari sebelum raya, memang kami panggil hari buat Tupak. Kalau yang dah meniaga memang tak menang tangan nak siapkan tempahan yang orang nak. 

Ketupat palas ni, kalau orang tak pandai buat, beras jadi berbiji -biji, orang Kelantan panggil tak "le'it". Macam tu lah kot nak mengeja nya. 

Kalau sis, sekali terkena makan yang macam tu, memang tak makan dah, sebab  tekstur pulut tu tak lembik elok dalam tu. Mak sis cakap, masa proses nak arong ( mengadun ) pulut tu tak cukup lama. 

Masa proses arong pulut kena betul - betul, takut pulut jadi berbiji - biji tak sedap nak makan. Sebab tu lah, proses nak arong pulut ni penat kerja sikit. 

Kena lama. Mak selalu puji arwah nenek sebelah abah buat ketupat palas memang le'it molek tak nampak biji - biji beras kat dalam.

Hari terakhir puasa, ada jiran bagi ketupat palas, memang lembut elok isi dalam, asyik pulak makan. Nak tahu jugak dia tempah dengan siapa. 

Kalau orang pandai buat, memang kita pun puji melangit. Terlupa pulak nak ambil gambar. 


Ketupat Manis Dan Ketupat Lemak 


Kredit : Azie Kitchen

Di Kelantan ada 2 jenis ketupat palas. Ketupat palas manis dan satu lagi ketupat lemak. Sis suka yang manis dan juga lemak. 

Selain itu, nak lagi kelainan, ikut permintaan, ada yang letak sambal daging dan juga kacang putih.

Untuk ketupat lemak, tak ada rasa manis, dan cara makan untuk ketupat lemak adalah cicah dengan air gula melaka. Untuk ketupat manis pula letak gula masa proses arong pulut. 

Harga sekarang untuk ketupat palas ni boleh tahan ya sampai cecah RM 100 untuk 100 biji. Kalau tambah kacang putih, lagi naik sikit harga. 

Semakin banyak santan digunakan semakin lemak rasa ketupat dan lagi sedap, tapi tu lah kena berpada - pada lah makan ya. 

Jangan terkejut tengok resepi macam banyak gula, dah sinonim kuih - kuih Kelantan ni manis - manis belaka. Tak manis tak berapa sedap pulak. 

Jadi, kali ini sis nak kongsi resepi ketupat palas manis Kelantan bagi sesiapa yang nak cuba, ni untuk yang dah mahir bungkus ketupat memang sesuai untuk cuba buat sendiri. 

Kalau masih terkial - kial nak bungkus ketupat. Rasanya kena belajar dulu buat demo cara nak bungkus. Di youtube pun dah banyak tutorial yang boleh dicuba. 

Sis sendiri pun rasanya nak kena belajar  bungkus ketupat macam mana. Ada orang kalau cermat elok, memang kemas dia bungkus ketupat, kita boleh tahu orang ni jenis teliti buat kerja. 

Tahan lama 3 Hingga 4 Hari 

Ketupat palas tahan lama pun dalam 3 hingga ke 4 hari. Kalau tak habis macam mana ?, Arwah nenek dulu, dia gantung sampai kering ketupat tu. 

Kalau makan pun memang agak keras sikit sebab pulut pun dah jadi keras tapi tak basi. Tak nak bagi basi ketupat ni penting semasa proses nak buat ketupat, memang kena jaga betul. 

Dari bekas nak guna, santan sampai ke nak merebus. 

Untuk resepi, sis berkenan tengok resepi dari Cik Wan Kitchen, tak nak ketupat cepat basi, santan kena masak terlebih dahulu. 

Sama lah jugak dengan mak sis buat kalau melibatkan santan - santan ni kena masak terlebih dahulu. Cuma cara Cik Wan ni dia kukus, Nak rebus pun boleh. 

Nenek sis dulu ikut cara dia nak rebus, sebelum nak rebus, dasar periuk lapik dengan lebihan daun palas sebelum letak ketupat sebab tak nak bagi hangit. 

Rebus hingga air dah kering. Air tak ada lah banyak sangat letak. 

Lepas nampak air dah kering dalam periuk, terus goreng ketupat tu pulak, maksud kat sini bukan goreng dengan minyak ya. 

Kacau goreng tanpa minyak nak bagi air yang ada dalam ketupat palas tu kering lagi. Daun palas dah nampak kering berkilat ok dah siap. 

Resepi Dan Cara Buat Ketupat Palas Manis Dan Lemak Versi Kelantan 


Kredit : Cik Wan Kitchen 

Bahan - Bahan 
1 kg beras pulut, dibersihkan dan direndam sejam dua. 
1/2 kg santan pekat ( 3 biji kelapa parut : ambil 1 gelas pati santan pekat dan 1 gelas santan cair) 
1/2 kg gula 
1 kepal garam buku di bahagi 4 (1/4) guna garam mesin. ( Garam letak ikut tahap kemasinan ya ) 

Penyediaan Untuk Daun Palas
1. Sediakan daun palas terlebih dahulu. 
2. Basuh setiap pelepah dan gantung/jemur. Daun palas perlu di buka dan disimpul bentuk ketupat sebagai acuan untuk memudahkan membungkus nanti.

Penyediaan Untuk Pulut
1. Sediakan santan. Santan dimasak dengan garam terlebih dahulu hingga menggelegak. Ketupat tahan lebih lama. Nak letak garam tu boleh suai rasa tahap kemasinan. Tak adalah letak garam terus banyak ya.
2. Kukus pulut kali pertama. Bila dah naik wap seketika, keluarkan dan kacau sebati dengan santan cair. Kukus semula. 
3. Kukus kali kedua hingga naik wap lagi untuk beberapa ketika, boleh tengok pulut dah masak dan berkilat. 
4. Keluarkan dan arong/kacau dengan santan pekat bersama-sama gula ketika masih panas-panas. 
5. Pulut akan jadi lembik sedikit sebab masih panas. Kacau hingga berkilat dan pekat bergetah, mula-mula ringan dan senang dikacau, lama-lama jadi semakin berat dan susah.
6. Bila pulut dah sejuk (tunggu dua tiga jam hingga benar-benar sejuk) boleh dibungkus. Sediakan air kapur. Celup jari dengan air kapur untuk elakkan pulut melekat dijari. Sumbat padat pulut sebelum dibungkus.
7. Kukus ketupat selama 2 jam. Barulah ketupat benar-benar masak dan sebati.

Nota : 
1. Ini resepi untuk ketupat manis. Kalau ketupat lemak, lebihkan garam dan jangan guna gula langsung.

Biasanya ketupat lemak ada yang kosong dan ada yang masukkan kacang putih. Rebus kacang terlebih dulu. Masukkan kacang selepas pulut dikukus kali kedua.

2. Ketupat manis dihidang macam biasa saja. Bagi ketupat lemak pula sedap sangat kalau dicicah dengan gula melaka/ manisan cair. 

Itu hidangan orang Pantai Timur. Nak hidang ketupat lemak bersama rendang. Sedap sangat.

Cara Bungkus Ketupat Palas Kelantan 

Untuk cara bungkus ketupat palas macam mana, korang boleh tonton video di bawah ya. 


Cara Rebus Ketupat Palas Guna Noxxa 

Sebelum ni, sis ada buat entri cara rebus ketupas palas guna Noxxa, Walaupun ketupas palas tu, ketupat palas frozen yang ditempah. 

Ini cara sis buat. Rebus guna pressure cooker lah senang. Boleh tonton video di bawah : 



Teringin sangat nak buat sendiri, tapi tu lah fikirkan, banyaknya langkah demi langkah tu, nak bungkus lagi takut give up tengah jalan. 

Kalau tak belajar buat, nanti tak ada pulak tradisi nak bungkus ketupat palas ni. Tengok lah kalau sis belajar nanti. Tengok orang lain senang jer buat.

Kalau korang nak cuba, boleh cuba resepi ni dan kalau nak tengok langkah demi langkah untuk cara bungkus ketupas palas tu, boleh tonton video di atas.

Baca Juga :


1. Cara Masak Pulut Bersantan Guna Noxxa

2. Rendang Daging Mudah Guna Perencah Rendang Adabi

3. Resepi Rendang Ayam Mudah Tanpa Tumis



1 Comments

  1. ketupat palas wajib aaadaaa nak raya.. tapi rasa mcam tak pernah makan yang versi manis ni selalu yang lemak2.. tapi utk sy kalau da nama pulut tu saya makan jaaa.. mmg fevret. penah buat beberapa kali tp tahun ni order yg frozen..

    jemput join GA blog saya :
    https://www.sitiyangmenaip.com/2021/05/nz-souvenirs-giveaway-by-sitiyangmenaip.html

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post