30 Resepi Kuih Tradisional Mudah Dan Cepat Untuk Berbuka Puasa

30 Resepi Kuih Tradisional Mudah Dan Cepat Untuk Berbuka Puasa | Salam semua, setiap kali tiba bulan ramadan, mesti dah terbayang pelbagai jenis senarai kuih tradisonal di bazar ramadan kan. 

Entah kenapa, asyik bulan puasa mesti teringat jenis kuih tradisional yang ada.  Di sini, sis nak kongsikan resepi kuih tradisional mudah dan cepat untuk berbuka puasa untuk kalian cuba ya. 

Sebenarnya, nak buat kuih muih tradisional tak ada lah susah mana pun. Yang penting kena rajin.


Kuih tradisional melayu ni kalau tak belajar tak boleh jugak. Kena paksa - paksa jugak kalau boleh. Walaupun di bazar ramadan pelbagai kuih tradisional yang ada. 

Kita pun kena ambil tahu juga cara buat kuih tradisional mudah. Kalau sis sendiri pun ada  kuih kegemaran yang sis suka. 

Tak kisah lah kuih tradisional Kelantan ke atau kuih dari negeri lain. 

Jom, kita cuba sendiri kuih tradisional Malaysia untuk berbuka puasa yang mudah dan sedap ini. Kuih yang menjadi kegemaran sejak turun temurun dari generasi orang lama hingga lah ke generasi sekarang.

30 Resepi Kuih Tradisional Mudah Dan Cepat Untuk Berbuka Puasa 


1. Kuih Lompang Lembut Berlesung Pipit 

Bahan-Bahan:

Bahan-bahan untuk air gula:

1/4 cawan gula putih
1/2 cawan gula merah
1/2 keping gula nisan (kalau tak letak gula nisan, masuk sukatan gula putih menjadi 1/2 cawan)
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan

Bahan-bahan untuk kuih lompang (lain-lain):
1 1/2 cawan tepung beras
1 sudu membukit tepung ubi
1/2 sudu kecil air kapur
Sedikit minyak, untuk sapuan pada acuan 

Bahan-bahan untuk hiasan kelapa:
1/2 biji kelapa parut
1/2 - 1 sudu kecil garam
1 helai daun pandan

Cara Penyediaan:
1. Masak kesemua bahan untuk air gula. Kacau sehingga gula larut dan mendidih. Tapis dan sejukkan.
2. Masukkan tepung beras dan tepung ubi ke dalam mangkuk. Tuang air gula dan air kapur dan kacau sebati. Setelah sebati, tapis adunan supaya dapat pastikan tak ada ketulan yang tertingggal.
3. Sapu acuan lompang dengan sedikit minyak. Susun dalam tray dan kukus acuan kosong selama 5 minit.
4. Setelah kukus, tuang adunan lompang sehingga ¾ penuh. Kukus kembali selama 15-20 minit. 5. Setelah kuih lompang masak keluarkan dari periuk kukusan dan sejukkan. Jangan keluarkan dari acuan ketika panas.
6. Sementara menunggu, gaul sekata bahan hiasan atas iaitu kelapa parut, garam dan daun pandan. Kukus selama 5 minit. Hias atas kuih lompang.

Tips:

1. Tujuan kita kukuskan dulu acuan selama 5 minit ialah supaya kuih lompang menjadi 'lesung pipit di tengahnya nanti bila dikukus
2. Air kapur berfungsi sebagai bahan untuk menjadikan tepung lebih kenyal apabila dikukus nanti.

Kredit : Che Nom


2. Kuih Seri Ayu / Puteri Lembut Dan Gebu Ikut Sukatan Cawan Dan Gram 

Bahan-bahan kuih seri ayu:
1 Cawan @ 200 gram Gula Kastor
2 Biji Telur
1 sudu kecil Ovalette
1/4 Cawan @ 62.5 ml Susu Cair
1/2 Cawan @ 125 ml Santan
1/4 Cawan @ 62.5 ml Jus Pandan
Pewarna Makanan
2 Cawan @ 250 gram Tepung Gandum
2 1/2 Cawan Kelapa Parut
1 Sudu Besar Tepung Gandum 

Cara-cara membuat kuih seri ayu:
1. Untuk lapisan kedua, pukul gula kastor dan telur sehingga kembang.
2. Masukkan ovallet dan pukul lagi sehingga adunan menjadi gebu. (adunan menjadi putih)
3. Masukkan pula esen vanila, santan dan juga susu cair. Pukul sebentar.
4. Akhir sekali masukkan tepung yang telah diayak dan pukul sekejap dengan kelajuan rendah. Lebih elok kalau kaup balik tepung.
5. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan letak pewarna pilihan masing-masing.
6. Masukkan adunan ke dalam piping beg dan pipekan ke atas lapisan cheese yang telah dikukus tadi sehingga penuh.
7. Kukus lebih kurang 8 minit dengan api sederhana kecil.
Kredit : Buat orang lapo


3. Kuih Sagu Gula Melaka Mudah Dan Sedap

Bahan - bahan 
2 cawan sagu ( rendam 1/2 jam )
5 cawan air, tambah air bila perlu
Sedikit gula
Daun pandan
Pewarna pilihan

Cara - cara
1. Nak masak sagu, didihkan air dalam periuk baru masukkan sagu, sentiasa kacau hingga sagu kembang dan jernih. Tiada sagu putih.
2. Tambah pewarna dan biarkan sejuk.

Untuk Kuah 
2 tin susu cair
2 cawan air
Daun pandan

Cara - cara
Panaskan susu dan juga air , daun pandan biar sebentar , tutup api .
atau santan dan juga sedikit garam , daun pandan , panaskan sebentar ..

Air gula melaka 
Gula melaka  4 keping / ikut suka
Sedikit gula pasir
Daun pandan
Sedikit air, kalau nak gula pekat kurangkan air

Cara- cara
1. Panaskan sedikit air,  gula melaka, daun pandan. Masak hingga gula cair dan pekat.
2. Kacang merah dan jagung dalam tin untuk hiasan tambahan.
3.Campur sagu , air gula melaka , susu cair , kacang merah dan jagung. Sejukkan sebelum dimakan.



4. Kuih Cek Mek Molek Kelantan Mudah

Bahan-Bahan ( Anggaran 10 biji )
400-450 gm ubi keledek (2 cawan keledek lecek)
1 cawan tepung gandum atau secukupnya
Gula putih
Minyak masak

Cara-cara:
  1. Ubi keledek direbus hingga empuk ( masukkan sedikit garam ). Biarkan ubi keledek rebus sejuk,kemudian lecek halus
  2. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit, adun hingga boleh dibentuk.( jangan masukkan terlalu banyak tepung, nanti kuih akan menjadi keras ).
  3. Bahagikan adunan kepada 10 bahagian, bulat - bulat ( besar sikit dari bola pingpong ), leperkan masukkan setengah sudu kecil gula kat tengah.
  4. Pastukan bentukkan seperti kuih cek mek molek.
  5. Goreng dengan api sederhana hingga kuning keemasan. 

Nota : 
  • Pastikan ubi keledek betul - betul sejuk,barulah masukkan tepung.kalau masih suam - suam akan menambahkan penggunaan tepung.
  • Jika adunan masih melekat kat tangan, sapukan tangan dengan tepung supaya kuih boleh dibentuk.

5. Kuih Butir Nangka Mudah Ikut Sukatan Cawan 

Bahan - Bahan 

Untuk doh 
2 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung beras
Air daun pandan secukupnya boleh klik SINI untuk cara nak buat ekstrak daun pandan yang mudah.

Untuk kuah 
3 1/2  cawan santan
1 sudu besar tepung beras
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
1 helai Daun pandan yang telah disimpul ( sekiranya nak letak )
1 sudu teh halba dibasuh terlebih dahulu

Cara - Cara 
1. Tepung pulut digaul rata dengan air daun pandan sehingga doh boleh digentel. Jangan terlebih lembik.
2. Ambil sedikit adunan dan bentukkan dalam bentuk lonjong, boleh tonton video di bawah. Kalau tak nak bentuk lonjong pun tak apa. Tapi comel dalam bentuk lonjong sebab nak jadi macam butir nangka kan.
3. Didihkan air dalam periuk, kemudian terus masukkan adunan yang digentel tadi, Rebus sampai masak, tips nya naik sampai terapung.
4. Sediakan satu bekas yang berisi air sejuk, dan masukkan butir nangka yang telah masak ke dalam air sejuk untuk menghentikan proses masak.
5. Untuk kuah pula, sediakan periuk, masukkan santan, garam,gula, halba, daun pandan dan tepung beras. Kacau rata sekejap.
6. Letakkan periuk atas dapur dan kacau sehingga mendidih dan nampak pekat boleh tutup api.
7. Nanti kuah suam sikit, sejatkan butir nangka dan boleh masukkan butir nangka tadi dalam kuah. Sedia untuk dihidangkan



6. Kuih Kepek Hidung / Puteri Mandi Mudah Ikut Sukatan Cawan 

Bahan-bahan:
1 1/2 cawan tepung pulut - bahagikan kepada 3 bahagian
1/2 cawan air - untuk ketiga-tiga bahagian pulut
Pewarna hijau, merah dan kuning
Esen pandan

Bahan kelapa manis:
1 cawan kelapa parut putih
1 keping gula melaka - mieza guna keping diameter saiz 4 inci
2-3 sb gula pasir
2 helai daun pandan
1/2 cawan air
Sedikit garam

Cara-cara:
1. Sediakan kelapa manis. Satukan gula melaka, gula pasir, daun pandan, air dan garam dalam kuali non-stick. Panaskan hingga gula melaka cair. Kemudian masukkan kelapa parut dan masak hingga sedikit kering. Jangan kering sangat tau. Rasakan manisnya. Kalau suka manis, boleh tambah gula lagi.

2. Bahagikan tepung pulut kepada 3 bahagian dan masukkan ke dalam 3 mangkuk yang berlainan. Untuk setiap mangkuk masukkan warna berlainan setiap satu beserta esen pandan. Dengan menggunakan 1/2 cawan air sedikit demi sedikit, bancuh tepung hingga menjadi doh yang tidak melekat.

3. Dalam periuk, masukkan air dan masak hingga air mendidih. Biarkan air terus mendidih.

4. Ambil doh tepung pulut. Bulatkan sebesar ibu jari kemudian tekan sedikit tengahnya dengan menggunakan jari. Masukkan bebola yang telah dikemekkan tengah ke dalam air yang sedang mendidih. Renehkan hingga bebola kemek timbul dipermukaan air. Ambil penapis teh dan angkat bebola kemek keluar dan toskan airnya.Ulang hingga semua doh habis.

5. Kemudian masukkan bebola pulut kemek yang telah ditos tadi ke dalam kuali yang mengandungi kelapa parut manis. Gaul rata.

Nota 

Jangan toskan kesemua bebola kemek serentak nanti ia akan melekat antara satu sama lain. Bila angkat je dari air mendidih, toskan dan terus masuk dalam kelapa parut manis dan gaul.


7. Resepi Kuih Sagu Kelapa / Sagu Bronok Tanpa Kukus

Bahan bahan
1 cawan sagu biji - rendam 30 minit
4 cawan air
½ cawan gula pasir - boleh tambah
1 sudu kecil sirap ros merah
Kelapa putih + garam - kukus seketika

Cara cara
1. Rendam sagu dalam 30 minit. Masak 4 cawan air hingga mendidih. Tapis sagu yang direndam dan terus masukkan ke dalam air mendidih tadi.
2. Kacau perlahan- lahan sehingga sagu menjadi jernih. 
3. Masukkan perisa sirap ros dan gula. Kacau sehingga mendidih dan pekat. Nota: saya kacau atas dapur selama 30 minit.
4. Tuangkan dalam loyang 7”x7” atau dalam acuan kecil. Biarkan sehingga sejuk. 
Potong dan digaul dengan kelapa parut putih yang digaul dengan sedikit garam.

Kredit : Azie Kitchen 


Resepi Kuih Tradisional Mudah Dan Cepat

8. Kuih Akok Kedut Mudah Ikut Sukatan Cawan Guna Oven

Bahan bahan
7 biji telur
250 gram santan - santan kotak + air
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan air 
100 gram gula Melaka - nak manis boleh tambah 1 sudu gula
Secubit garam
3 helai daun pandan - gunting
2-3 kuntum bunga cengkih - optional untuk aroma

Cara cara 
1. Kisar gula Melaka, air dan daun pandan sehingga hancur dan tapis. Tuang semula ke dalam blender. 
2. Kisar sekali lagi air gula Melaka tadi dengan semua bahan lain sehingga betul betul kembang. 
3. Panaskan oven selama 15 minit pada suhu 180 C, letak terus muffin tray. Kemudian, keluarkan dan griskan muffin tray dengan minyak. Masukkan balik acuan ke dalam oven dan panaskan sehingga tray agak panas. 
4. Keluarkan acuan dan tuang adunan ke dalamnya dalam 3/4 penuh sahaja. 
5. Bakar selama 18-20 minit atau sehingga masak. Saya suka yang kulit akok garing sedikit. 
6. Setelah dikeluarkan dari oven, akok akan mengecut dan permukaan akan berkedut kedut. Lalukan dengan pisau ketika ianya masih panas panas supaya mudah dikeluarkan dari acuan. 

Kredit : Azie Kitchen 


9. Kuih Cara Manis Mudah Dan Lembut

Bahan Yang Digunakan
Daun Pandan (kalau tidak ada daun pandan boleh menggunakan perisa pandan)
2 cawan air
1 kotak santan 200 ml
2 biji telur
3 cawan gandum
Sedikit garam
Gula secukupnya

Cara Membuat Kuih Cara Manis
1. Potong daun pandan dan blender dengan 2 cawan air, Tapiskan.
2. Masukkan telur 2 biji, 1 kotak santan ,3 cawan gandum, sedikit garam dan air tapisan pandan tadi.
3. Blender sekali lagi. tapiskan.
4. Panaskan acuan dangan api slow ya. Lepas tu sapu minyak jangan bagi minyak bertakung dalam acuan cara tu pulak.
5. Boleh tuang bahan tadi jangan bagi limpah ruah pulak. 1-2 minit boleh masuk gula dan tutup.
6. Bakar lebih kurang 4-5 minit. Tak perlu terbalikkan ya.
7. Siap jangan terus dingap dalam mulut kang melecur mulut.

Kredit : Affisah Husin


10. Kuih Bakar / Bingka Pandan Mudah Dan Sedap Ikut Sukatan Cawan Dan Gram

Bahan-bahan untuk jus pandan:
1 cawan /250ml air
5 helai daun pandan 

Bahan-bahan untuk kuih bakar pandan:
2 cawan /250 g tepung gandum
1 cawan /200 g gula putih
½ sudu kecil garam
2 ¼ cawan /563 ml santan
3 biji telur
2 sudu besar majerin
Sedikit pewarna hijau
Sedikit minyak
Bijan secukupnya untuk taburan

Cara Penyediaan:
1. Panaskan oven kepada suhu 170°C, api atas bawah.
2. Potong kasar daun pandan, kisar halus bersama air untuk hasilkan 1 cawan jus pandan. Tapis jus pandan dan ketepikan.
3. Masukkan tepung gandum, gula putih, garam, santan, jus pandan, telur, majerin dan pewarna hijau ke dalam blender. Kisar halus dan tapis.
4. Ambil acuan bunga kemboja, tuang sedikit minyak dalam acuan dan kemudian panaskan.
5. Setelah minyak panas, tabur bijan dan biarkan sehingga bijan bertukar menjadi warna sedikti perang.
6. Tuang adunan sehingga hampir 3/4 penuh acuan. Tabur lagi bijan di atas permukaan sebelum dibakar.
7. Bakar selama 40-45 minit atau sehingga permukaan kuih bakar pandan menjadi warna perang.
8. Cucuk dengan lidi, kalau lidi bersih bila ditarik maksudnya kuih dan masak.
9. Sejukkan sebelum dipotong.

Tips:
Pada 10 minit terakhir, kuatkan oven kepada suhu 190°C supaya permukaan kuih cepat menjadi perang dan sedikit garing.

Kredit : Che Nom


11. Kuih Seri Muka Mudah Dan Sedap 

Loyang 10” x 10” (guna loyang bulat 10”)

Lapisan Bawah:
3 ½ cawan beras pulut rendam 1-2 jam 
3 cawan santan – dari 1 biji kelapa 
1 sudu kecil garam

Cara - Cara 
1. Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang. 
2. Kukus di dalam periuk pengukus yang telah mendidih airnya sehingga masak. Angkat dan ditekan tekankan dengan tangan sehingga sedikit mampat. 

Nota:
Bila santan cukup, pulut tak akan melekat, jadi boleh guna loyang yang sama. 

Lapisan Atas:
4 cawan santan pekat – dari 2 biji kelapa dikisar dengan air daun pandan
2 cawan gula pasir
4 biji telur – saiz B
1 cawan tepung gandum 
1 sudu kecil garam
6 helai daun pandan - kisar dengan 2 cawan air
Sedikit pewarna hijau

Cara - Cara 
1. Kisar daun pandan dengan 2 cawan air dan tapis airnya. Masukkan air daun pandan ke dalam kelapa parut dan blend untuk mendapatkan 4 cawan santan yang diperlukan. Titiskan sedikit pewarna hijau. 
2. Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan 2 cawan santan terlebih dulu, pukul lagi sekejap. 
3. Masukkan tepung dan kacau rata sebelum masukkan baki santan. Jangan terlebih pukul untuk menghasilkan permukaan kuih yang rata.
4. Masukkan loyang lapisan bawah ke dalam pengukus dan kukus sehingga panas, baru ditapis adunan ke atasnya dengan perlahan lahan di sekeliling loyang. 
5. Kukus selama 45 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak. Mula mula kukus dengan api kuat dalam 10 minit. Bila nampak permukaan menggelembung, buka penutup dulu untuk keluarkan wap sehingga dah turun, baru tutup semula.
6. Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak. 
7. Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan pisau bersaiz kecil.


Tips Mengukus:
1. Boleh dimasakkan seketika lapisan atas, agak agak ianya keluar wap sahaja. 
2. Gantikan 1 cawan santan dengan 1 cawan air panas mendidih.
3. Balut penutup pengukus dengan tuala atau kain tebal untuk mengelakkan air menitis di atas permukaan kuih. Pastikan penutup pengukus bertutup rapat.
4. Api biar sederhana sahaja, jangan besar kerana kuih akan menggelembung dan tak cantik. 


Tips memotong:
1. Untuk dapatkan potongan cantik,pastikan kuih seri muka anda telah sejuk betul dan barulah dipotong.
2. Celupkan pisau ke dalam air panas, lap dan potong. Sekiranya ada pulut melekat di pisau, bersihkan dulu. Celup pisau ke dalam air dan ulanglah sehingga selesai. Boleh gunakan pisau plastik atau pisau besi. 

Kredit : Azie Kitchen 


12. Kuih Grodok Telur / Sekaya Telur Kelantan Mudah Sukatan Cawan 

Bahan - Bahan 
4 biji telur itik
9 biji telur ayam
2 helai daun pandan / Daun sireh
200 ml santan ( 1 kotak kecil )
1 cawan gula merah / Gula melaka ( 250 gm )
1/3 cawan gula pasir ( 70 gm )
1/2 cawan air
1 sudu besar air kapur
1/4 sudu teh garam
6 kuntum bunga cengkih

Cara - Cara 
1. Masak gula melaka, gula pasir, daun pandan dan bunga cengkih dengan air hingga larut dan simpan semalaman.
2. Satukan telur, air kapur dan garam. Pukul dengan handwhisk hingga berbuih.
3. Masukkan santan dan sirap gula melaka. Kocok hingga sebati. Tapi dan tuang ke dalam loyang.
4. Panaskan kukusan dan kukus selama 30 minit atau hingga masak.

Kredit : Blog Kak Wan


13. Kuih Dangai Mudah

Bahan-bahannya:
2 biji kelapa parut sederhana muda lapisan putih
2 senduk gula putih (sukatan guna senduk nasi)
1 sudu teh garam
1 cawan tepung pulut

Cara-caranya:
1. Dalam satu bekas, masukkan semua bahan dan gaul sebati. Penting untuk pastikan adunan kuih tidak berketul.
2. Panaskan ketuhar pada suhu 160 darjah Celsius selama 10 minit. Sementara itu, oles rata minyak ke permukaan loyang dan masukkan adunan.
3. Tekan manja dengan tangan atau sudu supaya adunan padat bagi mengelakkan kuih pecah dan berderai apabila masak nanti.
4. Bakar pada suhu 145 hingga 150 darjah Celsius menggunakan api atas bawah. Letak loyang di tengah-tengah ketuhar.
5. Seusai masak, potong panas-panas sementara masih lembut. Sedia untuk dihidangkan bersama secawan kopi.

14. Kuih Getas Mudah Sukatan Cawan

Bahan - Bahan
2 cawan tepung pulut
1 cawan tepung gandum
1/2 biji kelapa parut putih
1/2 sudu teh garam
Sedikit air
Minyak untuk menggoreng


Cara - Cara 
1. Campurkan ke semua bahan ke dalam bekas, tuang air sikit - sikit dan uli sampai tepung agak - agak tak melekat di jari.
2. Cubit adunan sebesar bola ping pong bulatkan dan kemudian dileperkan.
3. Panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana.


Untuk sira:
Bahan - Bahan 
1 cawan gula
1/2 cawan air
2 helai daun pandan disimpul ( optional ) 

Cara - Cara 
1. Masukkan gula,air dan daun pandan masak dengan api sederhana sehingga berbuih
masukkan kuih getas yang digoreng tadi dan kacau sampai gula bersakar.


Tips Cantikkan Sira Gula : 
1. Masukkan air dan gula dalam kuali hingga pekat dan menjadi seperti bertali sedikit guna api sederhana.
3. Kemudian, baru masukkan kuih dan kecilkan sedikit api hingga gula tadi kering. dan berbentuk hablur, baru padamkan api. 

Kredit : Dari Dapur 



15. Kuih Tepung Pelita Mudah hanya 4 Bahan 

Bahan - Bahan

Untuk bahagian hijau

1 cawan gula
1 cawan tepung beras cap apa sahaja selain 5 gajah
4 cawan air
1 sudu besar pewarna hijau epal

Untuk Bahagian Putih
5 sudu besar tepung beras
200 ml santan kotak
3 cawan air
1 sudu kecil garam

Cara - Cara
1. Masak Bahagian Putih 

  • Mula-mula satukan semua bahan untuk bahagian hijau ke dalam periuk.
  • Kacau dulu bagi sebati, masak dengan api sederhana sampai pekat.
  • Kacau berterusan ya. Jangan berhenti kacau sebab nanti berketul.
  • Dalam 10-15 minit adunan dah pekat dah.
  • Jumlah masa nak buat ni lebih kurang 1/2 jam sahaja.
2. Tuang Dalam Bekas 
Bila dah agak likat, terus masukkan panas-panas dalam acuan kecil-kecil.

3. Masak Bahagian Putih 
Untuk masak bahagian putih, caranya sama juga seperti di atas.

Masak atas api hingga sebati dan pekat / sampai ada buih besar meletup.

4. Tuang Atas Bahagian Hijau 
Bila bahagian putih yang dimasak tu dah likat, boleh tuang di atas lapisan hijau.

Tuang panas-panas ya.

Tips Tambahan :
1. Kisar 2 sudu gula pasir sampai jadi gula hancur.
2. Tabur rata di setiap bekas sebelum letak bahan hijau.
3. Jadi lagi sedap bila gula tu cair bila adunan bahaguan hijau yang panas diletak.

Kredit : Wan Nurul Hidayah


16. Kuih Tako Sedap Dan Mudah 

Bahan - Bahan 
Lapisan bawah: (Hijau atau pandan)
1 cawan tepung jagung
3 cawan air masak
2 cawan air pandan
1 cawan gula
Pewarna hijau setitik
Cara - Cara 
1.Masukkan semua bahan-bahan diatas. Kacau sampai sebati dulu. Naikkan atas api. 
2. Api sederhana kemudian perlahan. Nampak dah adunan menggelegak likat masak tutup api. Boleh ambil dan letak dalam acuan pandan atau bekas kecil.
3. Siap lapisan bawah atau nombor satu.

Lapisan Atas : Santan 

1/2 cawan tepung jagung
4 cawan santan (saya guna santan kotak kara kecil. Jadikan 4 cawan)
Sedikit garam

Cara - Cara 
1. Masukkan semua bahan-bahan di atas kacau sebati, naik atas api. Kacau sampai masak atau menggelegak. Tutup api. Ambil dan masukkan dalam bekas atas lapisan bawah atau hijau tadi.
2. Dah  siap. Masukkan dalam peti ais sejukkan nak dekat berbuka baru keluarkan. Senang kan.
Kredit : Oh Bulan 

17. Kuih Apam Bakar Kelantan Mudah

Bahan - Bahan

300 gm tepung beras
130 gm gula pasir
1/2 sudu teh garam
2 sudu kecil yis segera
1 sudu kecil lada hitam*
2 ulas bawang merah*
1/2 inci halia*
1/2 inci lengkuas*
200 ml air*
200 ml santan / susu segar
5 - 6 biji pisang emas
4 ketul tapai ubi kayu lembut

Kelapa parut putih dan sedikit garam  ( dikukus dan gaul bersama )

Cara - Cara 
1. Kisar bawang merah, halia, lengkuas, dan lada hitam dengan 200 ml air. Kemudian tapis dan ketepikan.
2. Lecek pisang, tapai, garam dan gula hingga halus. Masukkan tepung beras dan gaul hingga rata.
3. Tuang santan dan gaul hingga sebati. Masukkan air kisaran tadi sedikit demi sedikit hingga menjadi adunan seperti pankek.
4. Masukkan yis segera dan gaul rata. Tutup mangkuk adunan dengan plastik dan rehatkan selama 1 - 2 jam atau lebih hingga adunan menjadi ringan dan berbuih.
5. Panaskan non stick pan bersaiz 4 inci dengan sedikit merjerin.
6. Tuang satu senduk adunan dan masak dengan api perlahan hingga permukaan atas berbuih dan kering. Terbalikkan. Biarkan beberapa minit sebelum diangkat.
7. Hidang bersama kelapa parut.

Kredit : Blog Kak Wan


18. Kuih Lopes Guna Rice Cooker

Bahan Pulut 
2 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
1 cawan air
1 cawan air daun pandan
Sedikit garam
Sedikit pewarna hijau (jika perlu)
Kelapa parut secukupnya
Bahan Air Gula Melaka 
1 keping gula melaka
1 cawan gula perang
5 cawan air
1 helai daun pandan




Cara - Cara 
1. Basuh beras pulut dan masukkan santan cair,air,air daun pandan,garam dan sedikit pewarna hijau jika suka.
Adun rata dan letak dalam periuk nasi elektrik. Masak pulut seperti masak nasi biasa.
2. Sementara tunggu pulut masak,kukus kelapa parut seketika. Bila dah sejuk, gaulkan dengan sedikit garam. Ketepikan.
3. Setelah pulut masak,keluarkan dan padatkan pulut dalan bekas bersesuaian. Kemudian, bentukkan bulat . ( boleh guna cawan ).
4. Golekkan kepingan pulut tadi ke dalam bekas berisi kelapa parut.
5. Untuk sediakan air gula melaka, masak gula melaka,gula perang,air dan daun pandan hingga mendidih dan sedikit pekat. Ketepikan.
6. Sedia untuk dinikmati bersama pulut tadi.

Kredit Resepi : Nor Izzatie Mardu via mahn


19. Kuih Pulut Sekaya Atau Tok Aji Serban

Lapisan bawah:
500 gram beras pulut - rendam semalaman
300 ml santan pekat
300ml air
2 sudu kecil garam

Lapisan atas:
10 biji telur - pukul sebati
400 ml santan pekat
250 gm gula melaka - hiris racik
2 helai daun pandan - carik & simpul
¼ sudu kecil garam

Cara - Cara:
1. Tos beras pulut dan dicampur dengan santan, air dan garam. Kacau sebati dan kukus selama 25 minit. 
2. Masukkan pulut yang dikukus dalam loyang yang telah disapu minyak dan lapik plastik. Tekan pulut agar padat. Tabur sikit tepung gandum di permukaan atas. 
3. Lapisan atas, kisar santan dan gula melaka sehingga sebati dan gula melaka larut. Tuang ke dalam adunan telur. Masukkan garam. Kacau rata. 
4. Tapis dan tuang atas pulut. Kukus selama 30 minit atau sehingga masak. 

Nota 
Kalau nak buat untuk 1/2 adunan, guna loyang 7" x 7". 

Kredit : Azie Kitchen 


20. Kuih Ulat Bulu Mudah Ikut Sukatan Cawan 

Bahan - Bahan 
1 cawan tepung beras pulut
1 cawan tepung pulut hitam
3/4 cawan air
Sedikit air kapur(1/2 sudu teh)

Cara - Cara 
1. Adunkan kesemua bahan menjadi adunan seoperti kita membuat buah melaka.
2. Buat ketulan atau bulatan yang kecil dan masukkan intinya dan ditutup dengan kemas setrusnya di 3. golek pada telapak tangan kita biar menjadi sedikit panjang.
4. Rebus air dan apabila mendidih bolehlah dimasukkan kuih tadi dan dibiarkan sehingga timbul
5. Angkat dan toskan dan bolehlah di golek dalam kelapa muda yang telah dicampur dengan sedikit garam dikukus dahulu kelapa tersebut)

Bahan Untuk  Inti
Kacang hijau
Gula melaka
Gula
Daun pandan
Sedikit santan
sedikit garam

Cara - Cara
1. Rebus kacang hijau bersama daun pandan  hingga empuk.
2. Apabila airnya hamoir kering masukkan sedikit santan, gula melaka, gula dan garam
3. Rasanya kemanisannya mengikut citarasa sendiri dan apabila hampir kering bolehlah diangkat dan dikeluarkan dahulu daun pandan dan diblender.  Biar hampir hancur dan disejukkan.


Nota 

Kalau nak beli inti kacang yang dah siap pun boleh jimat masa 

Kredit : Dari Dapur Kak Yah 



21. Kuih Belebat Ubi Keledek Mudah Ikut Sukatan Cawan

Bahan Bahan
4 ketul keledek jepun berat dalam 300g
1 cawan tepung beras 
3 cawan santan 
5 sudu besar gula (Terpulang selera)
Sedikit garam 
1 helai daun pandan simpul
Daun pisang

Cara Cara

1. Rebus/stim keledek sampai masak.Kemudian dadu/potong memanjang (Ikut suka nak potong macam mana pun)
2. Satukan tepung beras, santan, gula,garam dan daun pandan. Kacau terlebih dahulu biar gula dan garam hancur.
3. Masak atas dapur sampai pekat, api kecil sahaja (sentiasa kacau biar adunan tidak berketul - ketul) kemudian masukkan ubi keledek. Kacau dengan cermat biar ubi tidak hancur. Ketepikan.
4. Ambil daun pisang, potong selebar tapak tangan. Layurkan atas api dan lap bersih.
5. Ambil adunan kuih anggaran 2 sudu besar dan balut menyerupai membalut pulut inti. 
6. Kukus selama 10minit. Pastikan air kukusan mendidih terlebih dahulu sebelum mula mengukus.
7. Sejukkan terlebih dahulu biar kuih 'set' kemudian bolehlah dihidang.

Kredit resepi : Lina Pg



22. Kuih Topi Kelantan Mudah Ikut Sukatan Cawan 

Bahan - Bahan 
2 cawan tepung beras
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula pasir
1/2 sudu kecil garam
1 1/2 cawan air kosong

Cara - Cara 
1. Masukkan ke semua bahan dan kacau sebati.
2. Kemudian tapiskan adunan tadi supaya tidak berketul - ketul
3. Masukkan dalam bekas kedap udara. Perap semalaman di dalam peti sejuk.
4. Keesokan hari, boleh  lah goreng dengan minyak sederhana sikit. Balikkan guna chopstick.
5. Pastikan minyak betul - betul panas.

Kredit resepi : Nuharahmat


23. Kuih Kaswi Lembut

Bahan-bahan untuk A:
1 cawan gula merah
1 cawan gula putih
2 cawan air
1 helai daun pandan

Bahan-bahan untuk B:
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi kayu
3 cawan air
2 sudu besar bancuhan air kapur

Bahan-bahan untuk C:
1 biji kelapa parut
Sedikit garam

Cara Penyediaan:

1. Carikkan daun pandan dan simpul. Masak kesemua bahan-bahan A dan tapis.
2. Dalam mangkuk berasingan, masukkan kesemua bahan-bahan B. Tuang bahan-bahan A yang dimasak tadi dan kacau sebati.
3. Dalam loyang, tuang adunan sehingga 3/4 penuh dan kukus selama 25-30 minit.
4. Angkat dan sejukkan adunan kuih sepenuhnya sebelum potong.
5. Gaul kesemua bahan-bahan C dan salutkan kepada adunan kuih yang sudah dipotong.

Tips:

1. Tudung pengukus hendaklah dibalut dengan kain supaya air kukusan tidak menitis ke dalam kuih.
2. Boleh juga gantikan gula merah dengan kepingan gula melaka atau dicampurkan keduanya, asalkan anggarannya adalah sebanyak satu cawan.
Kredit resepi : Che Nom 

24. Kuih Ketayap Mudah Ikut Sukatan Cawan

Bahan-Bahan:

Bahan untuk inti:

1/2 biji kelapa parut
1/4 cawan gula melaka
1/4 cawan gula pasir
2-3 helai daun pandan
1/2 sudu kecil garam 

Bahan untuk kulit:

2 cawan tepung gandum
2 cawan santan sederhana cair, anggaran dari 1/3 biji kelapa
1 biji telur
4-5 helai daun pandan
1 sudu kecil garam
2-3 titik pewarna hijau (optional)

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk inti:

Masukkan kelapa parut, air, gula merah, gula pasir, garam dan daun pandan di dalam kuali.
Masak di atas api yg perlahan, kacau sehingga sebati dan sedikit kering. Sejukkan. 

Cara-cara untuk kulit:
1. Kisar 1/3 biji kelapa parut bersama daun pandan, dengan anggaran air supaya menghasilkan 2 cawan santan. Perah dan tapis.
2. Bancuh santan bersama tepung gandum, garam, telur dan beberapa titik perwarna jika mahu, supaya kulit menjadi lebih hijau.
3. Kacau sebati menggunakan whisk dan kemudian tapis supaya tiada ketulan. Bancuhan tepung sepatutnya menjadi sedikit cair.
4. Panaskan kuali yg di griskan dengan sedikit minyak. Tuang satu senduk bancuhan tepung dan ratakan dengan memusingkan kuali ke kiri dan ke kanan supaya mendapat bentuk bulat. 
5. Ratakan bahagian atas menggunakan sudip jika perlu. Anggaran 3-4 minit di atas kuali.
6. Angkat dan gulung bersama inti yang sudah disejukkan.
Kredit resepi : Che Nom 


25. Kuih Lepat Pisang Istimewa

Bahan-Bahan:
2 cawan pisang, yang sudah dilecek
1/4 cawan gula putih
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung beras
1 keping gula melaka atau nisan (sejenis gula yang bulat dan nipis)
1/4 cawan kelapa parut
1 sudu kecil garam

Cara Penyediaan:

1. Panaskan periuk kukus.
2. Parut halus gula melaka supaya senang digaul rata bersama-sama bahan lain nanti.
3. Gaul sekata pisang yang dilecek bersama gula putih, gula melaka, tepung gandum, tepung beras, kelapa parut dan garam. Ketepikan atau rehatkan adunan seketika.
4. Bersihkan daun pisang dan layurkan di atas api sehingga layu sedikit.
5. Potong daun pisang anggaran 1 1/2 lebar tapak tangan.
6. Sudukan adunan sebanyak 3 sudu dan lipat sisi daun pisang ke atas dan kemudian lipat pula satu bahagian tepi. Tegakkan supaya bahagian lipatan tadi berada di bawah dan lipat bahagian yang satu lagi dengan kemas.
7. Susun di dalam loyang pengukus dan kukus selama 20 hingga 25 minit.

Tips:

Jika tak ada gula nisan atau gula melaka keping, boleh juga digunaka gula melaka berbentuk silinder, dalam anggaran 1/3 ketul.
Kredit resepi : Che Nom 

26. Kuih Badak Berendam

Bahan-Bahan:

Bahan untuk inti:

1/2 biji kelapa parut
2 sudu besar gula pasir
gula melaka secukupnya
2 sudu besar gula pasir
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu besar tepung gandum
1 helai dauh pandan, ikat simpul 

Bahan untuk kuah:
3 cawan santan
3 sudu besar tepung beras, bancuh dengan sedikit air
1 sudu kecil garam
1 helai daun pandan, ikat simpul 

Bahan untuk badak berendam:
2 cawan tepung pulut
1 1/2 cawan air pandan (tak perlu pekat sangat)
1/2 sudu kecil garam
pewarna merah
pewarna hijau

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk inti kelapa:

1. Panaskan kuali. Masukkan kelapa, gula melaka, dan gula pasir. Kacau bersama daun pandan yang disimpul bersama air. 
2. Pastikan inti kelapa ini cukup manisnya. Kalau kurang ,anis, tambah lagi ketulan gula melaka. 
3. Bila agak kering taburkan tepung gandum dan terus kacau sehingga masak supaya inti melekat senang dibuat bulat. 

Cara-cara untuk kuah santan:
1. Masak santan bersama bancuhan tepung beras, garam dan daun pandan.
2. Masak di atas api perlahan dan kacau sehingga mendidih. Pastikan anda selalau kacau kuah supaya tidak berketul.
3. Hidangkan bersama bebola badak berendam. 

Cara-cara untuk badak berendam:
1. Bancuh tepung pulut bersama air pandan dan garam sehingga menjadi doh yang lembut dan boleh dibentuk bulat.
2. Bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian di uli sekata bersama pewarna hijau, dan satu bahagian lagi di uli bersama pewarna merah.
3. Bulatkan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan inti kelapa dan bulatkan dengan kemas.
Rebus bebola di dalam air mendidih sehingga timbul di permukaan. Sejat air dan masukkan ke dalam kuah santan.
Kredit resepi : Che Nom 

27. Kuih Cucur Badak

Bahan utama : 
1 Kilogram keledek (di lecek )
2 Cawan tepung gandum
1/2 Biji kelapa parut

Bahan untuk di giling:
10 biji cili kering
3 sudu besar udang kering
8 ulas bawang merah
3 batang serai
1/2 sudu teh ketumbar
1/2 sudu teh jintan manis
1/2 sudu teh jintan putih
1 inci halia
1 inci kuncit
garam secukup rasa

Cara Penyediaan:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan giling hingga naik baunya,
2. Masukkan kelapa dan sedikit air
3. Bila dah kering angkat dan sejukkan
4. Gaulkan ubi keledek dengan tepung hingga sebati, kemudian bentukkan bulat2
5. Isikan intinya dan dibulakan semula
6. Panaskan minyak dan goreng hingga masak.
Kredit resepi : Che Nom 


28.  Kuih Qasidah 

Bahan-Bahan:

1 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air
1/4 cawan gula
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh air kapur makan
1 sudu besar minyak sapi (tak letak pun tak apa)

Bahan untuk hiasan:
6 ulas bawang merah
Secubit garam

Cara Penyediaan:

Cara-cara untuk kuih:

1. Di dalam periuk, bancuh tepung bersama air, gula, garam, air kapur. Kacau sebati.
2. Masak bahan bancuhan di atas api yang perlahan. 
3. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan berkilat. Anggaran masa mengacau adalah 15 minit. 
4. Apabila telah pekat, masukkan minyak sapi untuk menambahkan rasa lemak kepada kuih dan menjadikannya berkilat.
5. Tuangkan ke dalam loyang yang telah di sapu dengan minyak. Ratakan adunan dan tabur dengan bawang goreng bersama sedikit minyak dari gorengan bawang tadi. Potong apabila sudah sejuk.

Cara untuk bahan hiasan:
1. Buang kulit dan hiris bawang nipis-nipis. 
2. Gaulkan dengan cuma secubit garam supaya bawang goreng menjadi lebih rangup dan enak.
3. Jangan terlebih garam nanti masin. Goreng sehingga kekuningan.

Kredit resepi : Che Nom 


29. Kuih Peria

Bahan-bahan:
250 gm tepung pulut - saya guna 150 gram
200 ml santan pekat - guna 150 ml
25 gm minyak masak - sapu pada kuih dan daun pisang
Sedikit air
Pewarna merah dan hijau

Cara cara:
1. Uli tepung pulut dan santan hingga lembut. Bahagikan doh kepada dua bahagian. Kacau pewarna dengan sedikit air dan satu bahagian diwarnakan merah dan satu lagi diwarnakan hijau.
2. Ambil 15 gm doh dan bentukkan doh lonjong sedikit seperti buah peria. Masukkan inti dan tutup kemas. Sapu sedikit minyak pada doh. 
3. Letak di atas plastik dan digulung seperti menggulung gula gula. Kemaskan kiri dan kanan lalu ditarik kuat kuat di hujung kedua dua plastik supaya terbentuk garis garis pada doh menyerupai buah peria. Atau boleh juga ditekan tekan dengan lidi untuk mendapat corak buah peria. Buka gulungan dan letak atas daun pisang yang telah dilumur sedikit minyak. Susun dalam periuk pengukus.
4. Panaskan periuk pengukus dengan air yang mencukupi. Kukus buah peria selama 8 minit atau sehingga masak bergantung pada saiz kuih anda. Jika kuih lebih besar, lebihkan sedikit masa mengukus tapi jangan terlalu lama nanti kuih terlalu kembang dan hilang corak buah peria dan jadi tak cantik.

Inti Kacang Hijau:

250 gm kacang hijau - rendam

1 keping gula Melaka

1/2 cawan gula pasir

Sedikit garam

Cara membuat Inti:
1. Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering dan kacang hancur. 
2. Masukkan gula melaka, garam dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula. Angkat dan sejukkan.
3. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat sebesar ping pong dan bentukkan panjang lonjong seperti buah peria.

Nota;
1. Boleh masukkan kelapa parut dan tepung gandum, jika suka. 
2. Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih 

Kredit resepi : Azie Kitchen 


30. Kuih Bubur Somsom Pandan Mudah Dan Sedap

Bahan - bahan

500 ml air pandan ( guna  5 helai daun pandan dikisar bersama 500 ml air )
500 ml santan ( larutkan 1 paket serbuk krim kelapa s&p santan dengan 500 ml air )
50 gm tepung beras
50 gm tepung jagung
Sedikit garam untuk rasa lemak masin

Cara -cara
1. Satukan kesemua bahan dalam periuk dan kacau rata.
2. Letak atas dapur dan masak hingga pekat dan kilat  hingga adunan meletup - letup
2. Untuk sirap gula melaka cara nya senang saja, guna 3 keping gula melaka dan 1 cawan air. Kemanisan bergantung atas ketebalan gula melaka ya. Tak nak manis sangat boleh tambah air. Didihkan atas dapur sampai cair. Kalau nak wangi letak daun pandan



Antara resepi - resepi ini semua ada ambil dari tuan punya yang sis suka selalu intai - intai di blog dan youtube mereka. Che Nom dan Buat Orang Lapo ni antara youtuber masak - masak yang sis suka tengok kat channel beliau. 

Subscriber dah cecah 400K. Mantap sungguh.  Kak Azie pulak orang lama, bab kuih tradisional memang sis rujuk kat blog beliau. 

Kak Wan di blog citarasawan pun sama orang lama, lagi kalau bab kuih tradisional Kelantan memang pakar sangat. 

Terima kasih buat yang sudi berkongsi resepi kuih yang mudah dan sedap. Boleh lah juga sis tumpang nak cuba buat dan belajar lagi. Harap resepi 30 jenis  kuih tradisional  dapat buat untuk 1 hari 1 resepi. 

Semoga kalian dapat mencuba resepi kuih berbuka puasa yang mudah ini untuk keluarga. Tak apa lah sambil - sambil belajar buat kuih orang lama.

Jangan lupa untuk info - info menarik di channel telegram di bawah. Jemput follow 

Info Ibu Hamil 

Info Resepi 

Info Motivasi 

Malaysia Blogger Influencer & Content Writer 

Baca Juga : 





Kredit Resepi : 
1. Che Nom
2. Azie Kitchen
3. Blog Citarasawan
4. Dari Dapur.com
5. Lina Pg
6. Buat Orang Lapo

5 Comments

  1. Wah terima kasih Wani sebab compile kan semua resepi makanan tradisional kuih mudah dan cepat dalam satu entry. Senang nak refer nanti :)

    ReplyDelete
  2. thanks for the share...dah lama xmakan akok...boleh la rietta cuba kejap lg....

    ReplyDelete
  3. Sedapnya semua kuih muih tradisional. Satu pun belum pernah cuba buat lagi. Bolehlah tengok² resepi kat sini nanti. Tq share resepi

    ReplyDelete
  4. wah sedapnya, nanti nak cuba

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post