Friday, 4 May 2018

author photo
Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa Yang Simple Dan Sedap | Dalam 12 hari saja lagi umat islam nak sambut Ramadhan,  macam mana persediaan untuk memasuki bulan ramadan nanti. dah bersedia tak. Soalan yang dah biasa keluar, macam tu lah kan setiap kali bulan puasa nak dekat. Persoalan utama dalam kepala, nak masak apa menu untuk berbuka. Bukan senang nak fikirkan menu hari - hari untuk berbuka. Kalau macam Wani sendiri pun dah agaknya dah main buntu dah.

Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa Yang Simple Dan Sedap

Ok, kali ini Wani nak kongsi dengan kalian semua resepi yang dah pernah masak. Bila tengok balik kat blog menu - menu yang pernah masak, macam tak banyak sangat, padahal macam banyak sangat dah resepi berlainan yang dikongsi.

Harap - harap yang resepi Wani kongsi dapat diterima tekak kalian semua. Kadang - kadang ulang menu yang sama juga.

Gambar - gambar tak adalah comel mana sebab pergi korek - korek entri yang ada masakan ni, Harap adalah idea untuk korang semua.

Bulan puasa kat rumah ni tak perlu lauk banyak - banyak ikut nafsu.. kalau ikut kira, nak makan goreng telur mata kerbau dengan kicap pun dah satu nikmat dah, asalkan dapat isi perut kan.

Berdebar nak tunggu puasa ni oiitt otak mula bekerja keras sikit. Oklah selamat mencuba ya. Resepi kat bawah ada resepi sendiri dan ada resepi orang lain.

Yang resepi ini semua, wani dah buat entri satu - satu, cuma yang ini dikumpulkan. Jadi ini lah boleh dibuat menu berbuka puasa simple untuk bulan puasa nanti.

Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa Yang Simple Dan Sedap 

menu berbuka puasa

RESEPI KERABU KAKI AYAM

BAHAN - BAHAN

2 batang serai

1 biji cili merah

3 biji cili padi

5 biji bawang merah kecil

1 biji timun batang muda, dibuang tengahnya * ( tak letak )

1 biji tomato

1 batang lobak merah kecil*

3 helai daun limau purut ( tak letak )

secekak daun ketumbar

2 biji limau nipis

Garam dan gula

2 sudu sos ikan (nampla)

Sos tiram 

CARA-CARA

1. Basuh kaki ayam sebersihnya. 
2. Rebus hingga empuk/ masak dengan sedikit garam. Toskan.
3. Mayang serai, bawang, cili. Timun, tomato, daun ketumbar dan lobak merah di potong kecil. Daun limau purut dibuang tulangnya dan di racik kasar.
4. Campurkan semua bahan. Gaulkan sebati.
5. Perasakan dengan garam, gula, sos ikan dan perahan limau nipis. 
6. Hidang segera.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI AYAM KUKUS IKAN MASIN

BAHAN - BAHAN

3 peha ayam  ( potong jadi ketulan )
50gm ikan masin ( potong jadi ketulan, digoreng )
2 sudu hirisan halia
garam secukup rasa
1 sudu besar sos tiram
kicap cair dan kicap pekat secukup rasa
1 sudu teh tepung ubi  ( wani guna tepung jagung )
3 sudu air

CARA- CARA

1. Gaulkan ke semua bahan dan perasa , perap selama 30 minit dan boleh kukus.
2. Kukus tu dalam 20 minit tengoklah rasa macam ayam dah kecut dan masak bolehlah angkat.



 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI SAMBAL SOTONG BEREMPAH


Bahan-bahannya:
1kg sotong basah - dikerat 3 @ 4
2 senduk nasi cili kering kisar
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh garam masala (tak letak)
1 sudu teh serbuk teh ketumbar
1/2 biji tomato -dipotong kiub
1 biji bawang besar -dihiris
3 ulas bawang putih -dicincang kasar
1 biji bawang besar - dipotong bulat @gegelang
1 biji cili hijau -dihiris serong
2 sudu besar kicap lemak manis Enaq
1 sudu besar sos tiram
Gula dan garam secukup rasa.

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak. Tumis hirisan bawang besar dan bawang putih yang dicincang kasar tadi. Tumis sehingga naik bau dan bawang layu dan bertukar warna.
2. Masukkan cili kering kisar dan kacau rata. Masak menggunakan api sederhana sehingga cili garing/terbit minyak.
3. Kemudian masukkan serbuk jintan manis dan putih, serbuk ketumbar, dan garam masala. Kacau dan biar ia mereneh di atas dapur selama 1 minit. Kemudian masukkan sedikit air dan kacau.
4.  Masukkan sos tiram, Kicap Lemak Manis Enaq, perencah Maggi Cukup Rasa, garam, dan gula secukup rasa. Masak sehingga kuah mendidih.
5.  Kemudian masukkan pula tomato.
6. Setelah cukup rasa bolehlah dimasukkan sotong. Kacau dan kaupbalikkan sehingga sotong bergaul mesra dengan kuah.
7.  Setelah sotong masak, bolehlah dimasukkan bawang besar yang dipotong bulat dan hirisan cili hijau. Kacau rata dan bolehlah dihidangkan.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

Resepi Siakap Bakar Berempah Harum

Bahan-bahan :

  • 1 ekor ikan siakap (dibersihkan)
  • 1 helai daun kunyit (diracik/dihiris halus)
  • 2 helai daun limau purut (diracik halus)
Bahan-bahan dikisar bersama :
  • 3 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1 helai daun limau purut
  • 3 kelopak bunga kantan (dihiris terlebih dahulu)
  • 1 sudu makan cili giling (boleh ganti dengan cili api jika suka)
  • 1 sudu besar rempah kari ikan
  • 3 sudu makan air asam jawa
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • sedikit belacan bakar
  • 1 inci halia
  • 1/2 inci lengkuas
  • gula dan garam secukupnya
  • sedikit air
Cara-cara :
  1. Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga terbit bau. Tutupkan api. 
  2. Sementara itu, sediakan kertas foil dan dulang pembakar.Kelar ikan terlebih dahulu. Letakkan ikan di tengah-tengah kertas foil. 
  3. Tuangkan kesemua perencah tadi di atasnya. 
  4. Taburkan hirisan daun limau purut dan daun kunyit dan balut dengan kemas. 
  5. Perapkan sebentar lebih kurang 15 minit.
  6. Kemudian bakar ikan sehingga masak.
  7. Setelah masak, hidangkan. Boleh juga diperahkan sedikit dengan jus limau kasturi/limau nipis jika suka. Memang berbaloi.
Nota: wani bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170 C dalam 40 minit. Nak kukus pun boleh, orang kata sedap juga. Tapi setiap kali buat memang wani bakar lah. kukus tak pernah lagi.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI IKAN SIAKAP GORENG TAUCU

Bahan - bahan

1 ekor ikan siakap saiz agak sederhana ( ikan dibelah rama - rama baru sedap lepas tu perap dengan garam kunyit ) 
1 biji bawang besar*) 
3 ulas bawang putih*) dihiris nipis 
1/2 inci halia*)
Cili hidup/cili padi banyak ikut suka
2 sudu besar taucho 
1 sudu besar sos tiram 
Sedikit kicap manis 
Air asam jawa secukupnye 
Garam ( tak payah letak kalau sos taucho dah cukup masin ) 
Gula 
Minyak untuk menumis 

Cara - Cara 

1. Ikan digoreng garing.

2. Panaskan minyak dan tumis bawang & halia sampai naik bau.

3. Kemudian masukkan bahan lain dan tumis lagi hingga agak pekat kuahnya. Bila sudah masak tuang keatas ikan yg sudah siap digoreng tadi. Siap.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI KENGSOM SIAKAP
BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan siakap
4 biji bawang merah
4 biji bawang putih
10 batang cili kering
2cm kunyit hidup | diracik
3 keping asam gelugur ( ganti dengan asam jawa )
1 batang serai | dititik
3 helai daun limau purut
1 batang bunga kantan | diracik
Garam, gula dan bahan perasa secukupnya
Minyak masak secukupnya
Air secukupnya
CARA MEMASAK:
  1. Cuci ikan siakap sehingga bersih. Ketepikan.
  2. Kisar halus bawang merah, bawang putih, cili kering, separuh daripada kunyit. ( wani kisar kesemua kunyit ).
  3. Kemudian, panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau.
  4. Setelah tumisan berbau harum, masukkan air, asam gelugur, hirisan daun limau purut, serai dan bunga kantan. Tunggu sehingga mendidih.
  5. Seterusnya bolehlah diperasakan. Kacau sebati.
  6. Akhir sekali, masukkan ikan siakap. Biarkan ikan masak dan bolehlah dihidang.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI KEPAH GORENG CILI BERSERAI

Bahan-bahan

2 kg kepah

4 tangkai cili merah - ditumbuk kasar ( tak letak )
sedikit cili padi - ditumbuk kasar
1 labu bawang besar - ditumbuk kasar
4 ulas bawang putih - ditumbuk kasar
3 batang serai - diketuk
2 sudu besar sos tiram
1 tangkai daun ketumbar - dihiris ( tak letak )
1 biji limau nipis
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara - Cara 
1. Kepahdicuci hingga bersih.
2. Panaskan minyak kemudian tumiskan bahan tumbuk serta serai.
3. Apabila naik bau masukkan sos tiram dan kepah.
4. Tutup kuali seketika sehingga semua kepah terbuka.
5. Angkat tutup kuali, kacau sekata rasakan garam secukupnya.
6. Tutup api, taburkan daun ketumbar dan perahan air limau nipis.
7. Sedia dihidangkan panas.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa


RESEPI KUPANG GORENG SERAI 

BAHAN - BAHAN 

1.5 kg kupang ( mussels)
2 batang serai - dititik
1/2 biji bawang besar dihiris
3 ulas bawang putih diketuk
1 inci halia - diketuk
1 sb sos tiram
3 tangkai cili kering dihiris serong 
Garam
Minyak
Daun bawang

Cara - Cara 
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis cili kering dan goreng hingga wangi
2. Masukkan bawang hiris, bawang putih, halia dan serai. Kacau rata.
3. Tambahkan sos tiram. Gaul rata dan masukkan kupang. Tuang sedikit air.
4. Tutup kuali dan masak atas api selama 5 min dgn api yg kuat. Kacau rata. 
5. Tambahkan sedikit garam jika perlu.
6. Angkat dan taburkan hirisan daun bawang.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI AYAM MASAK KUAH BUNGA KANTAN 

BAHAN-BAHAN

1/2 kg ayam dipotong sederhana besar . perap dengan garam kunyit.
Air asam jawa secukupnya 
Sos plum secukupnya 
Garam dan gula secukup rasa 

BAHAN DIKISAR HALUS 

Separuh bunga kantan di cincang kasar
1 batang serai  hiris ambil bahagian putih sahaja 
5 ulas bawang putih 
5 ulas bawang merah atau guna bawang merah besar pun boleh 
Lengkuas sebesar ibu jari sikit tapi tak lah banyak sangat 
Halia pun sama jugak tak lah banyak sangat 
3 tangkai lada burung 
4 - 5 tangkai lada kering, rebus sampai lembut
1 sudu besar belacan 

CARA- CARA 
1. Ayam digoreng separuh masak jangan garing sangat.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang dikisar sampai wangi dan naik minyak.
3. Masukkan air asam jawa dan sos plum, kacau rata.
4. Masukkan ayam yang dah digoreng separuh masak.
5. Biarkan mendidih sikit kalau boleh tutup sekejap nak bagi ayam tu masak  dan sebati sikit dengan kuah.
6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7. Siap untuk dihidangkan

Nota
Ayam goreng separuh masak baru sedap. Bila goreng separuh masak ni ayam lembut tak adalah keras sangat.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

Resepi Ikan Siakap Stim (Resepi Kakak)

Sumber:  cetusan rasa

Sumber : Nur-nba ( http://cetusanrasa-nba.blogspot.com )

Bahan - Bahan :
seekor  ikan siakap / ikan selar besar (saiz sederhana)
1 biji bawang besar - dicincang 
Aluminium foil
sebiji lobak merah - dihiris memanjang
3 biji limau kasturi (dibelah dua)
Sedikit daun ketumbar / daun sup - dihiris
Sebiji tomato - dibelah empat


Bahan2 A (untuk dikisar) :
3 batang serai - dipotong halus
1 inci halia - dihiris nipis2
5 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 sudu besar asam jawa Extra 
1 1/2 sudu besar sos tiram
1/2 kiub stok ayam Knorr
Secubit garam
4 ulas cili api & 1 biji lada merah 


***Kesemua Bahan - bahn A ini dikisar dengan sedikit air sehingga halus.



Cara  -cara membuatnya :
1. Bahan - bahan A tadi dikisar sehingga halus.
2. Ikan siakap / selar besar dicuci bersih dan ditoskan.
3. Bentangkan aluminium foil dan susun separuh hirisan lobak merah, tomato, daun ketumbar dan bawang besar di atasnya.
4. Kemudian letakkan satu sudu besar Bahan - bahan A yang telah dikisar tadi ke atas susunan sayur-sayuran dan bawang besar tadi.
5. Letakkan ikan siakap / selar besar di atasnya dan tuangkan Bahan - bahan A selebihnya di atas ikan tersebut. Lumurkan sehingga rata hingga ke dalam belahan ikan dan kepalanya.
6.Sekali lagi, susunkan separuh hirisan lobak merah, tomato, daun ketumbar  dan bawang besar tadi di atas ikan.
7. Kemudian, bungkuskan aluminium foil tadi.
8. Akhir sekali, kukus ikan selama lebih kurang 10 minit.
9. Ikan siakap stim sedia untuk dihidang. Hidangkan bersama limau kasturi untuk diperahkan ke atas ikan siakap stim tadi.


Nota : 
1. Ada tips atau petua dari kakak, untuk mengelakkan masakan tidak jadi terlalu pedas, kuantiti cili api dan lada merah yang dimasukkan ke dalam masakan tersebut dalam kuantiti ganjil (contohnya 3 ulas, 5 ulas ).
2. Seulas daripadanya tidak dibuangkan tangkai dan terus dikisar bersama dengan tangkainya untuk mengelakkan daripada terkena penyakit seperti sakit perut.

Ada versi kedua resepi ini, Itu pun jika suka, boleh juga tambahkan 1 sudu besar pes tomyam dengan bahan - bahan kisar tadi.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI SINGGANG TULANG NOXXA ( KELANTAN STYLE ) 

BAHAN-BAHAN

 1 kg tulang rusuk daging lembu
 7 biji bawang merah dimayang
 4 ulas bawang putih dimayang
 1.5 inci lengkuas dihiris batang mancis 
 1.5 inci halia hiris batang mancis
 1 sudu besar biji ketumbar, disangai dan hancurkan hingga halus 
 4 keping asam gelugor
 5 biji cili kering dibasuh bersih
 Air letak paras tulang 
 Garam dan perasa secukup rasa 
 Belacan sebesar ibu jari 

CARA-CARA 

1. Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk noxxa dan high pressure selama 40 minit 
2. Selepas bunyi beep, turn off dan biarkan injap turun sendiri tapi ambil masa lama sikit , kalau nak cepat nak makan terus boleh lepaskan pressure, letak garam secukup rasa dan hidangkan.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI AYAM KUKUS THAI PEDAS

Bahan - Bahan 


Ayam sebelah potong kecil
*Lada burung 5-10biji
*Serai setangkai ( wani tambah ) 
*Halia sepotong
*Bawang kecil 3-5biji 
Lemon ( 4 sudu besar ) 
Sos ikan secukupnya 
Minyak zaitun secukupnya 
Air limau kasturi
Daun limau purut

Cara - Cara
1. Tumbuk bahan *, ratakan bahan tumbuk serata ayam. 

2. letak sos ikan, minyak zaiton dan air limau kasturi kedalam ayam, selitkan lemon dicelah ayam.
3. Taburkan daun limau purut. Kukus selama 30minit hingga masak.

4. Siap, sedap makan dengan nasi panas.

Nota : kalau kukus dengan oven, pastikan tutup bekas dengan aluminium foil dan letak dalam loyang yang telah diisi dengan air panas. 

Kukus selama 40 minit dengan suhu 150 C.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI DAGING BUDU NOXXA

BAHAN-BAHAN

1kg daging dihiris sederhana tebal
5 - 6 tangkai lada kering *
2 ulas bawang merah besar *
1/2 inci kunyit hidup *
4 hiris lengkuas *
20 tangkai lada burung hijau dan merah
1/2 keret gula melaka
3 keping asam keping
2 botol budu cap ketereh rujuk gambar

Ke semua bahan bertanda * diblend halus

CARA- CARA 

1. Mula - mula sekali, letak ke semua bahan yang telah diblender, lada burung, daging, asam keping, gula melaka dan juga budu.Sebenarnya tak payah tambah air pun tak apa dah.Sebab daging tu keluarkan air, Tapi cuci lah bekas blender dengan air sikit, bazir pulak kan, sikit jerr jangan banyak

2. Kemudian kacau rata sekejap

3. Tekan high pressure selama 35 minit dan tekan button on

4. Pastikan tombol ke pressure

5. Apabila dah bunyi beep, tekan button off dan putar tombol ke pressure untuk lepaskan wap baru boleh buka tudung. Ok dah siap, nampak macam banyak air sebab air daging ni turun. Jadi kita kena didihkan sekejap ya.

6. Tekan stir fry dan tekan button on tunggu sehingga mendidih. Biarkan didih lama sikit ya sebab nak kurangkan air kuah sikit, Sebenarnya kuah kena pekat sikit baru sedap.

7. Ok dah siap didih. Tekan button off. Lagi banyak hari lagi sedap sebab rasa dah masuk dalam daging. Pedas lada pun hilang. Bertambah nasi kalau makan. 



 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI Ayam Bakar Blackpepper Bermadu 
Bahan - Bahan
4 ketul paha ayam yang besar

Bahan Untuk Diperap 

1 inci halia 
5 ulas bawang putih 
5 sudu besar sos tiram 
4 sudu besar madu 
Serbuk lada hitam yang kasar secukupnya 

* Halia dan bawang putih ditumbuk halus 

Cara - Cara 
1. Satukan ke semua bahan untuk diperap ke dalam bekas 
2. Masukkan ayam dan gaul rata untuk diperap
3. Kalau perap semalaman lagi sedap
4. Kemudian, boleh bakar dalam oven yang telah dipanaskan atau nak guna pemanggang ajaib ke air fryer ke semua boleh.
5. Bakar sampai masak dan boleh dihidangkan.
 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI GULAI KUNING IKAN DURI 
BAHAN-BAHAN
6 ulas bawang merah*
1 inci inci kunyit*
4 hiris lengkuas*
3 tangkai lada kering* 
3 cawan santan
Ikan duri 700 gm atau lapan ketul bahagian isi ikan duri yang telah diperap dengan garam semalaman
Secekak daun kesum
4 - 5  helai daun kaduk 
5 keping asam gelugur ( wani letak banyak sebab saiz asam keping ni kecik, nanti kalau nak letak tu ikutkeperluan ya )
1 keping gula melaka
Garam

CARA - CARA 
1. Bahan -bahan yang bertanda * dimesin halus.
2. Satukan santan, asam gelugur dan bahan yang telah di blender halus ke dalam periuk dan kacau
hingga sebati sebelum letak atas dapur.
3. Masak santan bersama bahan kisar sehingga mendidih lama sikit, baru masukkan ikan duri, kacau
 sikit baru masukkan garam.kena pandai rasa kuah tu ya sebab ikan tu pun dah diperap dengan garam 
4. Masukkan gula melaka sekali  serta daun kesum dan daun kaduk yang dicarik-carik.suai rasa sekali lagi biar seimbang. 
5. Biarkan mendidih perlahan sampai naik minyak sikit santan tu dengan api perlahan.. Bila ikan dah nampak pucat kuah pun dah nampak pekat sikit,bolehla tutup api. 

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI AYAM PERCIK NOXXA

BAHAN-BAHAN

1/2 ekor ayam potong 2 bahagian atau boleh guna bahagian lain
2 ulas bawang merah besar*
1 inci kunyit hidup*
1/2 inci halia* 
3 tangkai lada kering*
3 batang serai dihiris*
Santan pekat 2 cawan  * atau  wani guna lebih kurang 600 ml santan cair.. 
Gula melaka 1/2 bahagian 
2 Keping asam gelugur

Kesemua bahan bertanda * diblender

Bahan untuk perapan ayam 
6 ulas bawang putih
1 inci halia

Tumbuk bawang putih dan halia beserta garam sampai lumat dan lumurkan pada ayam. Perap sekejap

CARA - CARA 
1. Tuangkan bahan yang telah diblender ke dalam innerpot noxxa dan masukkan santan dan garam sikit.masukkan asam keping .kacau sekejap dan on kan noxxa setkan kepada mode "stir fry".
2. Kacau sehingga mendidih. Nampak mendidih,masukkan gula melaka dan stir fry lagi sampai gula melaka cair dan kuah nampak pekat sikit.
3. Off kan noxxa sekejap, ambil separuh kuah percik letak dalam mangkuk, sebab nanti nak tuangkan atas ayam sikit masa nak bakar dalam oven.
4. Ambil ayam yang telah diperap dan masukkan dalam noxxa, masukkan sekali sisa2 bahan perapan yang melekat kat bekas perapan..dalam periuk noxxa..tak nak bazir.
5. Kacau sekejap,tutup periuk, pusing tombol ke arah " pressure" dan setkan kepada mode " high pressure" masa 8 minit dan on kan periuk.
6. Dah habis masa, off kan periuk dan pusing tombol ke arah " steam". Habis wap baru buka tudung. balikkan ayam ke sebelah lagi, kacau2 sikit  dan tutup balik. Cara sama macam nombor 5. 
7. Lepas habis masa, off kan, keluarkan wap dan ambil ayam pindah ke dulang pembakar.lumurkan ayam tadi dengan kuah percik yang telah disimpan tadi.
8. Masukkan dalam oven nak bagi garing sikit kat luar. Saya bakar guna api atas dulu lepas tu baru guna api bawah. 
9. Kuah dalam innerpot boleh stir fry kan sekali lagi nak bagi kering dan pekat.. Boleh buat sebagai kuah nak makan dengan nasi. 

NOTA
Kalau nak keluarkan kuah sikit boleh untuk tuang atas ayam nanti nak bakar, kalau tak nak pun tak apa. Lepas keluarkan ayam dari periuk,susun atas dulang. Stir fry sampai kering sikit. Boleh tuang atas ayam, masa nak bakar

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI TENGGIRI TUMIS ASAM LADA HITAM


Bahan-Bahan
  • 4 ekor ikan bawal- sederhana besar- guna ikan lain pun boleh  wani guna ikan tenggiri 
  • 1 btng serai- di titik
  • Daun saderi/sup- dihiris halus 
  • 1 sudu besar lada hitam-tumbuk, saya guna yang dah kisar kasar 
  • 2 sudu besar asam jawa-bancuh bersama 1/2 cawan air
  • 2 sudu besar kicap jalen manis - tak letak
  • Garam dan sedikit gula
  • Sedikit kunyit serbuk utk goreng ikan
  • Minyak secukupnya
  • 1 cawan air atau secukupnya
  • wani tambah sos lada hitam
Bahan di hiris
  • 2 tangkai cili merah
  • 2 tangkai cili hijau
  • 1 labu bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 cm halia
Cara-Cara
  1. Siang ikan, kelar permukaannya, cuci bersih dan toskan. Gaul ikan bawal bersama garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga  masak. Angkat, toskan dan ketepikan dulu.
  2. Tinggalkan sedikit minyak dlm kuali dan tumis bahan yg di hiris tadi, masukkan juga serai yang diketuk tadi. Tumis hingga naik bau.
  3. Setelah wangi, masukkan air asam jawa. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Tambahkan sedikit air lagi jika perlu.(ikut selera masing2 ya nak kuah banyak atau sikit)
  4. Masukkan ikan yang telah di goreng tadi dan gaul sebentar. Perasakan. Sekiranya dah cukup rasa, matikan api dan hidangkan.Taburkan bersama daun sup yang dihiris halus.
  5. Sedap di makan bersama nasi putih panas.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI IKAN SIAKAP AROMA BERSANTAN

Bahan-bahan

1 ekor ikan bawal hitam yang besar - dibersihkan  ( tukar ikan siakap )
12 tangkai cili merah - letak 7 cili merah dan 5 cili padi
8 ulas bawang merah - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
1 labu bawang besar - dimayang kasar
1 cawan minyak masak
2 cawan santan pekat
2 batang serai - dititik
3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil gula
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
1 labu bawang besar dipotong bulat
1 tangkai cili merah dibelah dua
1 tangkai cili hijau dibelah dua
1 biji jus limau kasturi

Bahan-bahan tabur
3 sudu besar bawang goreng
1 pokok daun bawang dihiris
1 pokok daun sup dihiris

Cara Menyediakan
1. Ikan digaul dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga ia masak.
2. Angkat ikan dan ketepikan seketika.
3. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan kisar bersama serai hingga wangi.
4. Masukkan semua sos diikuti gula, garam dan santan. Kacau hingga mendidih dan pecah minyak.
5. Masukkan bawang potong, cili merah, cili hijau serta ikan. Kacau rata dan biarkan ia mendidih sebentar.
6. Apabila sudah masak, hidangkan dalam pinggan leper.
7. Taburkan bawang goreng, daun bawang dan daun sup.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI IKAN SIAKAP TIGA RASA ALA THAI 
Bahan ikan:
1 ekor ikan siakap bersaiz kecil
1 biji telur
Serbuk lada sulah secukupnya

Bahan sos:
3 ulas bawang putih
1cm halia - dikisar kasar
8 biji cili padi - diketuk
3 biji cili merah
2 batang serai - dititik
1 batang bunga kantan - dipotong kecil
2 helai daun limau purut
1 biji bawang besar
35gm nenas
½ biji cili benggala merah
½ biji cili benggala hijau
½ biji cili benggala kuning
½ biji timun
1sudu makan jus limau nipis
1 sudu makan sos cili
Air secukupnya
Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
Minyak untuk menggoreng dan menumis

Cara memasak:
1. Ikan siakap terlebih dahulu dibuang tulang di bahagian tengahnya.
2. Kemudian gaulkan ikan bersama garam dan serbuk lada sulah.
3. Seterusnya celupkan ke dalam adunan telur yang dipukul kembang.
4. Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga kekuningan. Angkat dan ketepikan.
5. Setelah itu, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih, halia, serai dan cili padi
    sehingga naik bau.
6. Kemudian masukkan daun limau purut, bunga kantan dan sos cili. Kacau rata dan sebati.
7. Masukkan pula air secukupnya dan jus limau nipis. Perasakan dan biarkan seketika.
8. Akhir sekali, masukkan bahan-bahan yang dipotong kiub tadi.
9.Biarkan sehingga lembut dan pecah minyak.Tuangkan sos ke atas ikan siakap goreng. Sedia untuk dinikmati.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa
RESEPI TOMYAM MUDAH DAN SEDAP 

BAHAN - BAHAN 

Potongan ayam
Potongan fishball, atau seafood
Potongan kepingan daging
Air untuk kuah 
Bawang kuning potong baji
Bawang putih diketuk
Serai diketuk 
Daun limau purut carik - carik sikit
Sos ikan secukup rasa
Jus limau nipis
Lengkuas diketuk
Lada burung diketuk
Daun ketumbar secukupnya
Tomato potong baji
Gula dan garam
Pes tomyam 

CARA - CARA
1. Sediakan periuk, masukkan kesemua bahan kecuali jus limau nipis.biasa masukkan lepas tomyam masak.
2. Letak atas dapur. Tutup periuk dan tunggu sampai nampak wap keluar dari celah tudung, buka dan kacau sikit nak bagi lama sikit pun tak apa sampai ayam dan seangkatan dengannya tu masak.
2. Bila nak hampir masak tu, seimbangkan rasa masam , manis, masin sekali lagi sebelum tutup api.

Nota 

Tomato kalau rasa nak tekstur keras sikit boleh masukkan bila nak tutup api. Yang ni masukkan awal sebab wani suka tomato tu lembik sikit.

Baca sini : Cara Buat Sendiri Pes Tom Yam Di Rumah Yang Mudah




 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI SUP AYAM PEKAT

Bahan A
1/2 ekor ayam (dipotong kepada ketulan sederhana besar)
Air secukup nya
1 kiub pati ayam
sedikit garam

Bahan B
sedikit minyak untuk menumis
4 biji bawang besar (dihiris sederhana tebal)
4 ulas bawang putih (ditumbuk)
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 inci halia(dihiris nipis)

Bahan C
3 biji buah keras (ditumbuk halus)
1 sudu teh lada hitam (ditumbuk halus)
1 camca besar 'penuh' rempah sup
1 batang serai (diketuk lebam)
5 biji cili padi merah (diketuk lebam)
sedikit air

Bahan D
Daun Bawang
Daun Sup
Limau kasturi
Bawang Goreng

Cara-Cara 
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis hirisan bawang besar sehingga layu dan beraroma.
2. Kemudian baru masukkan kesemua bahan B yang lain. Goreng sehingga bawang putih bertukar hampir keperangan.
3. Masukkan bahan C,  perlahankan api dan biar rempah masak dengan perlahan dan sempurna. Kacau-kacau selalu untu mengelakkan rempah berkerak.
4. Setelah minyak terbit dari rempah baru dimasukkan air dan besar kan sedikit api supaya ia mendidih.
5.  Masukkan ayam, garam dan bahan perasa. Masak sehingga kuah mendidih semula.
6. 5 minit sebelum angkat, masukkan sedikit hirisan daun bawang, daun sup dan bawang goreng.
7. Tabur dengan tambahan bahan D sebelum dihidangkan.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI KERUTUK DAGING KELANTAN

 Bahan-bahan


1 kg daging potong besar (kalau guna rempah kurma akan dipanggil daging buku besar yang dihidangkan semasa kenduri) atau seekor ayam potong empat 
1 biji kelapa ambil santan secukupnya 
1/2 biji kelapa dibuat kerisek/ boleh beli yang ready made 
1 peket rempah kerutuk/ 3-4 sudu rempah kerutuk-bancuh dengan air panas 
Rempah 4 sekawan secukupnya-cengkih, lawang, pelaga dan bunga lawang
5-7 biji cili kering 
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
Seinci halia 
Seinci lengkuas diketuk 
2 - 3 batang serai diketuk 
Gula melaka
Garam 
Sedikit air asam jawa 

Cara-cara

 1. Sediakan bahan tumis:
         a. rempah kasar 4 sekawan 
         b. 2 ulas bawang merah dimayang 
         c. 2 ulas bawang putih dimayang 
         d. sedikit halia dimayang 
2. Bahan lain selebihnya dimesin (bawang, cili kering, halia) 
3. Panaskan minyak. Masukkan no. 1, tumis hingga wangi. Masukkan bahan no.2, kacau hingga naik minyak.
4. Masukkan rempah kerutuk, tumis hingga naik minyak sambil masukkan serai dan lengkuas ketuk, garam, gula, kerisek dan air asam jawa. 
5. Masukkan daging/ayam dan kacau hingga keluar air daging. 
6. Masukkan santan. 
7. Masakkan sambil dikacau sekali sekala sehingga santan pekat seperti di dalam gambar di atas. 

 Kalau tak ada rempah kerutuk macam mana? Boleh cuba guna rempah kari daging tapi ditambah dengan ketumbar dan jintan manis yang telah disangai. InsyaAllah boleh.

BAHAN TAMBAHAN 
Sedikit belacan untuk tumis 
Ubi kentang



 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa


RESEPI DAGING GORENG LEMON BAWANG


BAHAN - BAHAN 

Daging yang telah dijeruk
Bawang kuning potong baji atau hiris 
Lada merah / lada hijau / cili kering / lada burung 

CARA - CARA

1. Masukkan daging dalam kuali dan masukkan sedikit air.
2. Rebus daging sekejap sampai ia lembut, dah lembut pindahkan dalam pinggan sekejap.
3. Tuang sedikit minyak dalam kuali, bila minyak panas masukkan daging yang telah digoreng, kacau - kacau sekejap baru masukkan segala bahan bawang kuning dan lada.
4. Goreng sampai bawang dan lada agak layu dan daging tu nampak garing sikit.
5. Angkat dan sedia untuk dihidang.

Nota
Untuk memasak daging goreng lemon ini, kalian kena lihat dulu cara untuk jerukkan daging, boleh lihat di SINI 


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI DAGING KURMA NOXXA

BAHAN - BAHAN
700 gram daging batang pinang yang telah dipotong 
1 paket rempah kurma
Bawang merah, bawang putih, halia dikisar dan garam secukup rasa dicampur dengan rempah kurma. Gaulkan dengan daging
Bawang besar, dimayang
Rempah ratus 4 sekawan 
Kentang dan lobak merah 
1/2 cawan santan pekat
2 cawan air
Garam secukup rasa
2 helai daun pandan diikat
2 keping asam keping
Air asam jawa secukupnya
Gula melaka

CARA - CARA

1) Set pada Noxxa pc pada "Stir-Fry" mode dan tekan on. Masukkan sedikit minyak dan tumis bawang besar dimayang dan rempah ratus 4 sekawan sehingga wangi.
2) Masukkan daging yang telah diperap tadi. Tumiskan seketika biar bahan tumisan nampak naik minyak sikit.offkan stir fry.
3) Masukkan daun pandan, gula melaka, air asam jawa dan asam keping.
4) Masukkan santan separuh kotak, air dan garam. Air lebih kurang paras daging.tudung periuk noxxa.
5) Set pada HP mode selama 25 minit. Pastikan tombol menghala ke arah Pressure.
6) Dah bunyi beep, tekan off dan putar tombol menghala ke steam untuk melepaskan wap.
7) Kemudian, masukkan ubi kentang dan lobak  yang dipotong sederhana. tutup tudung
8) High pressure selama 5 minit sahaja dan tekan on, selepas bunyi beep, tekan off, lepaskan wap, buka tudung, tekan stir fry nak bagi kuah tu sebati, didihkan dalam 2 - 3 minit.
9) Dah siap, ubi kentang tak terlalu hancur kalau nak pegang pun. Boleh hidangkan.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI IKAN MASAK CUKA MUDAH

Bahan-bahan

Beberapa ketul isi ikan ( tak kisahlah ikan apa digaulkan garam dan kunyit dan goreng)
1 inci halia dihiris kecil memanjang
7 ulas bawang merah di belah dua
5 ulas bawang putih jugak dibelah dua
1 sudu lada hitam di kisar kasar
1 sudu jintan manis di sangai dan di kisar
1 1/2 sudu cuka
Sedikit kunyit serbuk, biji sawi,cili padi dibelah
Minyak,garam dan gula

Cara - cara 
1. Panaskan sedikit minyak tumislah, halia,bawang merah dan putih masukan biji sawi dan bahan.kisar dan tumis lah sehingga wangi masukan sedikit kunyit serbuk,cuka dan air secukupnya
2. Sudah mendidih masukan ikan yg telah digoreng dan cili padi yg di belah jugak garam dan gula sedikit.
3. Masak cuka ni rasa nya mesti ada rasa masam,manis dan masin,jadi kalau buat belum cukup salah satu nya boleh lah tambah apa2 yang kurang ya, kalau tak, tak kick lah masak cuka tu. 
4. Boleh jugak ditambah kacang panjang yg dipatahkan didalam masak cuka ni.

Seeloknya masak cuka ni dibuat dan disimpan semalaman baru best dimakan, menjadikan dia lebih mesra.


 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa


RESEPI IKAN TENGGIRI MASAK ASAM PEDAS

BAHAN - BAHAN 

3 keping ikan tenggiri dipotong dan cuci bersih ( Nak guna ikan lain pun boleh ) 
400 ml air

100 gm bendi

1 batang serai dititik

1 kuntum bunga kantan di belah dua

1/2 cawan air asam jawa 

1 cekak daun kesum

Sedikit minyak untuk menumis

Garam dan gula secukup rasa



Bahan Kisar 

5 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih
3 cm halia
2 sudu besar pes cili  atau 15 tangkai cili kering di kisar
2 cm kunyit hidup
2 cm lengkuas
1 sudu teh belacan

Cara - Cara 
1. Panaskan kan minyak.
2. Tumiskan serai dan bahan kisar hingga harum, garing dan terbit minyak.
3. Masukkan air dan air asam jawa dan masak hingga didih.
4. Kemudian masukkan daun kesum, bunga kantan dan ikan.
5. Renihkan senentar hingga ikan masak.
6. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
7. Akhir sekali masukkan bendi.
8. Masak sebentar hingga bendi lecur dan sedia di hidangkan.

Lauk asam pedas lengkap di gandingkan bersama, ikan goreng, telur asin atau telur dadar, sambal belacan dan ulam.

Memang terangkat bila di makan bersama nasi hangat. Selamat mencuba dan selamat menjamu selera.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI IKAN TEMPRA NYONYA

BAHAN - BAHAN 
4 ekor  ikan  selar  atau  ikan  kembung - di bersihkan ( wani guna ikan bawal) 
Daun bawang
Garam
Gula
Asam jawa
Air secukup kegunaan
Minyak
Perencah pati ayam / Kiub pati ayam - Tak bubuh pun tak apa


Bahan A ( Di goreng garing )
12 ulas bawang merah _ d hiris
12 ulas bawang putih _ d hiris

Bahan B
5 - 8 biji cili padi
3 batang serai - di titik
2 biji cili merah - di potong menyerong


CARA- CARA 

1. Lumurkan ikan bersama garam dan asam jawa. 

2. Goreng  dalam minyak yang banyak dan panas sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
3. Tumiskan bahan B sehingga wangi.
4.  Kemudian masukkan air asam jawa, sedikit air, perencah pati ayam / kiub pati ayam, gula dan garam secukup rasa.
5.  Setelah mendidih bolehlah di masukkan ikan goreng dan renih selama 5 minit di atas api kecil.
6. Masukkan 1/2 bawang merah goreng dan 1/2 bawang putih goreng. Gaul rata dan tutupkan api.
7.  Semasa menghidang taburkan 1/2 lagi bawang merah goreng dan 1/2 bawang putih goreng di atas ikan. Taburkan daun bawang juga.



 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa


RESEPI DAGING MASAK MERAH ALA THAI

BAHAN - BAHAN 

300 mg daging
1 sudu makan pes cili
1 labu bawang besar ( saiz besar ) – dipotong2
3 ulas bawang putih ( dipecahkan )
4-6 ulas cili padi  (dititik/diketuk ) – boleh tambah jika suka pedas
2 -3 sudu besar sos cili ( Boleh tambah sos jika mahu kuah lebih )
1 sudu makan sos tomato
1 sudu makan sos ikan ( sos nampla )
1 biji buah tomato ( di potong 6 )
Cili merah/ cili hijau untuk hiasan
Daun ketumbar ( di hiris )
Sedikit minyak

CARA -CARA 


1. Daging di bersihkan kemudian direbus hingga agak empuk. Angkat dan sejukkan seketika.
2. Hiris daging tadi kemudian ketepikan.
3. Masukkan 2 sudu besar minyak masak dalam kuali.
4. Masukan daging tadi goreng seketika dengan api perlahan ( goreng sekejap saja – jangan garing sangat!).
5. Dalam kuali yang sama, tolak daging ketepi masukan pes cili, bawang putih, bawang besar. Kacau sehingga layu.
6. Masukkan semua sos-sos dan sedikit air. Bila kuah mendidih masukkan buah tomato daun ketumbar dan  cili merah serta cili hijau yang telah di potong memanjang.
7. Kacau seketika dan tutup api. Bolehlah dihidangkan.



 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa

RESEPI AYAM GORENG NENAS


Bahan-bahan



4 sudu besar minyak masak

500 gm ayam - basuh bersih dan potong kecil

1 batang serai - dititik

1 biji bawang besar - dipotong baji

2 biji tomato - dibelah 4

1/4 nenas - dikupas, dibuang empulur dan dipotong dadu

1 batang cili merah - dihiris

1 batang cili hijau - dihiris

2 helai daun limau purut - dicarik 

1 sudu besar sos tiram

1 sudu beras sos ikan

Garam dan gula secukup rasa



Pes Rempah

4 sudu besar udang kering - direndam air hingga lembut kemudian dicuci dan dikisar

1 sudu belacan - dibakar dan dikisar

3 sudu besar cili kering yg telah dikisar

5 ulas bawang merah - dikisar

2 ulas bawang putih - dikisar

2 kaki akar ketumbar ( tak letak pun tak apa )

Cara-cara

1. Satukan semua bahan pes didlm pengisar dan kisar hingga halus.
2. Panaskan minyak masak dlm kuali yg dalam. Goreng ayam sehingga keperang-perangan. Angkat dan ketepikan.
3. Tinggalkan 2 sudu besar minyak dlm kuali dan panaskan semula. Tumis pes rempah dgn serai sehingga harum.
4. Masukkan bawang besar, tomato, nanas, cili merah, cili hijau daun limau perut dan ayam. Goreng dan kacau hingga sebati. Kemudian bubuh sos tiram dan sos ikan. Perasakan secukupnya dengan garam dan gula jika perlu.
5. Besarkan api menjadi sederhana dan masak , tutup, selama 3 minit. Hidangkan mengikut citarasa.

NOTA :  
Masukkan sedikit air nak bagi lembap dan berkuah.

 Resepi 30 Hari Menu Berbuka Puasa


RESEPI SAMBAL KERING PEPARU



BAHAN-BAHAN
500 gram paru lembu, hiris nipis, cuci dan toskan*
1 inci halia, hiris*
3 ulas bawang putih*(*direbus hingga lembut, toskan dan biar sejuk)
1 1/2 senduk nasi cili kisar
Garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan jus pekat asam jawa
Hirisan daun bawang untuk hiasan
Bawang goreng, untuk hiasan

BAHAN KISAR HALUS 
8 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 batang serai, hiris halus
1/2 inci halia
1 camca besar ketumbar biji
1/2 camca teh jintan kasar
1/2 camca teh jintan halus
2 biji buah keras

Cara - Cara 
1. Paru tadi digoreng hingga keemasan, angkat dan toskan. 
2. Tinggalkan sedikit minyak dalam kuali (bukan lah sikit sangat, agak2 lah yea) tumis bahan kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar dan tumis hingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau selalu.
3. Tuang jus asam jawa, kacau rata dan masukkan garam secukup rasa dan gula.
4. Masukkan paru goreng tadi. gaul rata dan masak hingga kering.
5. Rasa dan jika ok boleh matikan api.
6. Hidangkan dengan menabur bawang goreng dan hirisan daun bawang. Hidangkan segera.

This post have 13 komentar

avatar
Warisan Petani delete 25 March 2018 at 21:45

Macam2 menu ada.
Bolehlah try, tak payah tunggu puasa.

Reply
avatar
Rodiah Amir delete 25 March 2018 at 23:23

Terliur pulak tengok menu..sedap

Reply
avatar
HeNRieTTa JoSe delete 26 March 2018 at 09:40

wah...complete dah menunya....

Reply
avatar
Azmi Writer delete 26 March 2018 at 13:23

Assalamualaikum salam isnin dari saya. Singgah blog walking :) Bulan ramadhan dah dekat. ELok buat persediaan

Reply
avatar
Unknown delete 26 March 2018 at 16:14

Masa bulan puasa mesti ramai ibu cari resepi di blog puan.

Reply
avatar
Cik Ash delete 27 March 2018 at 13:03

wah banyak menu tak pernah buat

Reply
avatar
Farahain ZFA delete 28 March 2018 at 14:44

hai ain datang singgah sini dan follow awak. salam perkenalan :)
sincerely , farahain zfa

Reply
avatar
Sha Mohamed delete 4 April 2018 at 10:35

Banyak menu yang sedap ini..

Reply
avatar
adianiez AIDA delete 25 April 2018 at 12:38

izinkan aida save ye, wani :)
tq so much.

Reply
avatar
Wani Sukarno delete 19 May 2018 at 10:25

sila sila fatimah.. nak share :)

Reply


EmoticonEmoticon

Next article Next Post
Previous article Previous Post

Nuffnang