-->

Monday, 11 January 2021

author photo

Koleksi 20 Aneka  Resepi Puding Sedap Dan Mudah Untuk Dicuba | Salam semua, resepi puding memang ada peminat tersendiri. Bahan utama nak buat puding kena lah ada susu. Tengok lah mana - mana resepi mesti ada susu. Puding di buat tak kira musim, yang pasti kalau bulan puasa ramai yang teringin sangat nak makan puding, Jadi, puding dijadikan pencuci mulut selepas makan nak sejukkan tekak kan. Resepi puding boleh dikatakan ada yang mudah dan ada juga yang susah. Kali ini sis nak kongsi aneka resepi puding yang sedap dan mudah untuk dicuba. 


Aneka resepi puding sedap dan mudah


Koleksi 20 Aneka  Resepi Puding Sedap Dan Mudah Untuk Dicuba 


Di bawah ini adalah koleksi 20 aneka resepi puding yang boleh dipilih untuk dicuba. Lain kali tak kering idea dah kalau nak buat puding. Macam - macam resepi dah. 

1. Resepi Puding Susu Pandan 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan-Bahan
700 ml air 
120 gram gula pasir
10 gram serbuk agar agar
3 helai daun pandan
300 ml susu segar
200 ml santan
Beberapa titik esen pandan/ pewarna hijau

Cara - Cara 
1. Satukan serbuk agar- agar, air dan daun pandan dan masak selama 3 minit atau hingga serbuk agar-agar sebati.

2. Masukkan gula pasir dan kacau hingga gula hancur, masukkan pula susu segar dan santan. Kacau sebati. Kecilkan api semasa masukkan susu segar dan santan tadi dan kacau perlahan - lahan.

3. Tapis dan bahagi kepada dua bahagian, satu letak esen pandan dan pewarna hijau, selebihnya biarkan warna asal.

4. Tuang adunan hijau/pandan kebekas puding yang dikehendaki separuh bekas.

5. Biarkan beku sebentar ( boleh juga letak dalam peti ais supaya cepat beku ) dan cakar sedikit permukaan puding dengan garfu dan tuang baki warna putih atas puding pandan tadi .

6. Biarkan sejuk dan simpan dalam peti ais, sedap dimakan sejuk.

Kredit : Nieza

2. Resepi Puding Oreo Mudah

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan
1 bungkus serbuk agar-agar (plain)
2 bungkus biskut oreo
2 kotak Susu UHT 200ml
1 sudu makan gula pasir (optional)

Cara - Cara
1. Pecahkan biskut oreo, jangan halus sangat. Kemudian Masukkan ke dalam acuan.
2. Satukan susu uht, gula dan serbuk agar-agar di dalam periuk.
3. Masak di atas api yang sederhana. Kacau sebati sehingga mendidih.
4. Tuangkan bancuhan susu dan serbuk agar-agar yang telah mendidih ke dalam acuan oreo.
5. Biarkan seketika. Bila dah tak panas, masukkan kedalam peti sejuk. Siap !

Kredit: Hasni Usman3.

3. Resepi Puding Jelly Atau Puding Sumi 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan
10 gm agar-agar
200 gm gula pasir
1 liter air
4 sudu besar tepung kastard
1 tin susu cair
1 bungkus jelly sumi atau secukupnya
Pewarna

Nota
Kalau acuan bersaiz besar, gandakan saja bahan - bahan.

Cara- Cara
1. Buka setiap sumi dan toskan airnya. Susun sumi ke dalam acuan. Simpan ke dalam peti sejuk beku dahulu.
2.Campurkan tepung kastard bersama susu, kacau sekata.
3.Dalam periuk, masukkan air, agar-agar dan gula. Buka api, masak sampai agar-agar dan gula hancur dan mendidih.
4.Masukkan tepung kastard yang dilarutkan dengan susu.
5.Bila dah mendidih, tutup api, biarkan suam sedikit sebelum dituang ke atas acuan yang berisi sumi.
6.Kalau nak berwarna, tuangkan sedikit pewarna ke dalam bancuhan dan tuang ke dalam loyang.
7. Tuang satu lapisan biarkan keras,sekejap.
8. Cakar permukaan sedikit dengan sudu garpu dan tuang lagi. Begitula seterusnya.
7. Biarkan suam sedikit sebelum disimpan dalam peti. Sejuk - sejuk baru sedap dimakan.

Kredit : Ain Aina

4. Resepi Puding Roti Jagung

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan-Bahan 
4 keping roti 
2 sudu kecil mentega 
2 sudu kecil tepung jagung 
1 tin jagung berkrim
Nanas dalam tin
5 sudu besar gula
2 cawan susu cair
1 biji telur 
1 helai daun pandan 

Cara Cara
1. Campurkan gula dan tepung jagung di dalam sebuah mangkuk lalu masukkan susu cair. Gaul rata. 
2. Pecahkan telur dan ratakan lagi. Masukkan daun pandan. 
3. Sapukan mentega dengan rata ke atas acuan untuk membakar. 
4. Letakkan roti di atas acuan dan siramkan campuran susu cair ke atasnya. 
5. Kemudian sapukan jagung berkrim di atasnya. Lapiskan lagi roti. 
6. Ulang melapiskan roti dengan campuran susu cair dan jagung berkrim sehingga habis. 
7. Aturkan nanas di atasnya. 
8. Bakar di dalam ketuhar gelombang mikro selama 4-6 minit pada suhu sederhana.

Kredit : http://armanizan.blogspot.com/2012/08/puding-roti-jagung.html

5. Resepi Puding Cocktail Mudah Dan Sedap 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Untuk puding kastard 

Bahan - Bahan 
1 cawan tepung kastard
4 1/2 cawan air
3 sudu besar gula
1/2 sudu kecil garam

Cara - Cara 
1. Campurkan semua bahan di atas.
2. Masak dengan api sederhana hingga mendidih dan warna kastard sedikit jernih.
3. Sentiasa kacau supaya kastard tidak hangus.

Untuk Kuah Kastard 

Bahan - Bahan 
1 tin susu cair
2 tin air panas
1/4 tin air yang dicampur dengan 1 sudu besar (rata) tepung kastard.
1 cawan gula
1/4 sudu kecil garam

Cara - Cara 
Campurkan semua bahan di atas dan masak hingga hampir mendidih. 


** Guna air panas yang telah mendidih dan untuk air yang dicampur dengan tepung kastard, guna air masak.
** Kaedah ini supaya kuah puding tahan lebih lama.

Bila puding dan kuah dah sejuk hidangkan bersama fruit cocktail.

Kredit : Busu Rozita

6. Resepi Puding Milo Oreo Sedap 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan 
Serbuk agar-agar 10 gm
Air 4 cawan
Gula pasir 1/2 cawan ( kalau suka makan manis letak 1 cawan )
Susu cair 1 tin
Oreo 1 paket ( krim jangan buang )
Milo 1 cawan ( campur serbuk koko sikit)

Cara - Cara 
1) Larutkan agar-agar dengan air di atas api yang perlahan, dah larut masukkan gula. Kacau lagi sampai larut.
2) Masukkan susu, kacau sampai didih.
3) Asingkan 2 cawan ke periuk lain (untuk lapisan putih)
4) Manakala yang lebihan tadi masukkan milo, kacau lagi.
5) Dah siap masak, tuangkan separuh adunan milo untuk lapisan pertama dalam bekas.
6) Tunggu sehingga lapisan keras, cakar kan pakai garfu di atas lapisan milo yang pertama tadi, tuang semua adunan yang putih .Patahkan dua biskut oreo, dan susun biskut ikut suka banyak mana atas layer putih tu.
7) Dah keras masuk baki lapisan milo, semuanya ada 3 lapisan. Dah suam-suam boleh masuk dalam peti, dah sejuk dan keras boleh potong dan hidangkan.

Kredit : Nurfarleena Shukor dan Fairuz Abu Hassan 

7. Resepi Puding Kastard Jagung 6 Bahan 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan 
3 cawan air
1 cawan gula pasir
1 cawan tepung kastard
1 tin susu cair
1 tin krimer jagung
Sikit garam

Cara - Cara 
1. Campurkan semua sekali dan kacau sampai rata
2. Kemudian, naikkan atas dapur. Buka api perlahan dan kacau sampai likat.
3. Terus tuang dalam bekas masa panas - panas.
4. Masukkan dalam peti untuk sejukkan.

Kredit : Mami Marsya Queen Kitchen

8. Resepi Puding Roti Bakar Mudah

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan
7 keping roti
2 biji telur
2 cawan susu cair atau susu full cream 
4 sudu besar gula 
2 sudu besar butter atau marjerin cairkan
Esen vanilla
Kismis atau coklat chip atau cheese parut


Cara - Cara
1. Sapukan butter keliling loyang
2. Campurkan susu,telur dan esen vanilla. Kacau hingga adunan sebati
3. Koyakkan roti dan masukkan dalam adunan tadi. 
4. Tuang butter atau marjerin yang dah dicairkan.
5. Kacau rata dan biarkan sekejap sampai roti serap adunan.
6. Masukkan adunan ke dalam loyang yang telah disapu butter.
7. Taburkan kismis atau coklat cip atau cheese dan bakar pada suhu 180 C selama  30min atau sehingga masak.

Kredit : Rohimatul Mat Yussuf


9. Resepi Puding Karamel Tanpa Telur, Tanpa Kukus Ikut Sukatan Cawan

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan : 

Untuk Gula karamel
Gula - 4 sudu besar 
Air- 2 atau 3 sudu besar 

Untuk Puding
Agar-agar tali/serbuk- 10g 
Air- 4 cawan 
Susu pekat- 1/2 cawan 
Gula- 1/2 cawan 
Susu cair- 1 tin 
Vanilla extract- 1 sudu kecil 
Tepung kastard- 2 sudu besar 

Cara Buat Puding Karamel 
1. Dalam loyang atau kuali, masukkan gula 4 sudu bersama 2 atau 3 sudu air. 
2. Kemudian, biarkan gula hangus dengan menggunakan api sederhana besar, boleh goyang-gayangkan sedikit loyang/kuali supaya gula hangus sekata. 
3. Bila gula dah mula hangus, perlahankan api (takut terlalu hangus nanti pahit). 
4. Biarkan gula karamel sejuk dahulu di suhu biasa. Kalau guna kuali, alihkan gula karamel tadi ke dalam loyang/ bekas yang bersesuaian. 
5. Sementara itu, sediakan periuk lain dan masukkan agar-agar tali/serbuk bersama air. Biarkan agar-agar larut dan mendidih. 
6. Sediakan bancuhan air tepung kastard dengan menggunakan sedikit air yang ditinggalkan tadi. Kacau hingga semua larut.
7. Kemudian, masukkan air bancuhan tepung kastard, susu cair, gula, vanilla extract dan susu pekat. 
8. Biarkan mendidih sekejap dan masukkan ke dalam loyang gula karamel tadi. 
9. Biarkan puding sejuk di suhu biasa dahulu lebih kurang 1 jam, kemudian masukkan ke dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 3 jam sebelum dihidang. 

Nota : Sudu besar tu, guna sudu ikut sukatan metrik ya. 

10. Resepi Puding Karamel Telur 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan A:
1 cawan gula
½ cawan air

Bahan B:
5 biji telur
1 tin susu cair
3 sudu besar susu pekat manis
Esen Vanilla

Cara - Cara:
1. Masakkan gula dan air sampai bertukar jadi karamel, warna keperangan. Api kecil sahaja supaya gula tak hangit.
2. Kisar semua bahan B.
3. Tuang bahan B yang dikisar tadi atas karamel.
4. Kukus sampai masak. Tutup loyang guna aluminium foil dulu, supaya air tak menitis jatuh atas puding. Nanti permukaan atas tak cantik.
5. Dah masak biarkan seketika. Nanti masuk dalam peti ais bagi sejuk baru sedap makan.
 


11. Resepi Puding Roti Kukus Mudah

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan
8 keping roti (sapu planta)
4 biji telur
1 tin susu cair
4 sudu besar gula
1 sudu kecil esen vanila
Kismis untuk hiasan


Cara - Cara
1. Sapukan loyang dengan marjerin atau mentega. Kemudian, carikkan  roti susun dalam loyang. 
2. Dalam bekas lain masukkan telur, susu, gula, esen vanila
3. Kacau hingga sebati kemudian baru tuang ke dalam loyang yang dah disusun roti
4. Biarkan sekejap untuk roti meresap, kemudian baru tabur dengan kismis atau coklat cip.
5. Kukus 30 - 35minit atau permukaan atas hingga keperangan. 


Untuk Sos Kastard

Bahan - Bahan
1 tin susu cair
1/2 (setengah) tin air sukat guna tin susu cair
3 sudu besar gula
Secubit garam
3 sudu besar tepung kastard
1 sudu teh esen vanila

Cara - Cara
1. Masukkan semua bahan - bahan dalam periuk. Kacau rata. 
2. Kemudian kacau atas dpur dengan api perlahan. 
3. Sampai sos kastard mendidih dan pekat. 

Kredit : Aisyah Muhamad

 
12. Resepi Puding Biskut Marie 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan-Bahan
200 gram Roti Marie (Roti Marie = Biskut Marie)
10 gm Agar-Agar Serbuk
2 1/2 cawan air
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan tepung kastard
1 biji telur
1/2 buku Buttercup
6 sudu besar serbuk koko
8 sudu besar Milo
1/4 sudu kecil esen vanilla

Cara - Cara
1. Kisar susu cair, susu pekat, telur, esen vanilla dan tepung kastard. Ketepikan.
2. Bancuh serbuk koko dan Milo dengan sedikit air suam. Ketepikan.
3. Masak serbuk agar - agar dengan air hingga serbuk agar - agar larut dan mendidih.
4. Masukkan Buttercup dan kacau hingga Buttercup cair.
5. Masukkan bahan - bahan yang di"blender" dan kacau hingga sebati. api kena perlahan kerana adunan akan menjadi pekat. Sentiasa kacau.
6. Masukkan serbuk koko dan milo yang telah dibancuh tadi. Kacau hingga sebati dan tiada ketulan. Masak hingga berkilat dan ada meletup-letup. Ini menandakan puding telah masak. Tutup api.
7. Alas loyang 7" x 7" dengan plastik. Lebihkan di bahagian kiri dan kanan supaya senang hendak mengeluarkan Puding dr loyang nanti.
8. Masukkan adunan puding (lapisan koko). Ratakan keseluruhan loyang.
9. Susun Roti Marie satu persatu di atas lapisan koko. Boleh patahkan sedikit jika ada ruang yang kosong.
10. Masukkan adunan puding (lapisan koko) lagi. Susun Roti Marie seperti tadi.
11. Ulang proses yang sama sehingga habis. Pastikan di atas sekali, mesti lah lapisan koko.
12. Sejukkan.
13. Bila sudah sejuk, simpan dalam peti ais sekurang-kurangnya 4 jam. Sedap dimakan sejuk2.


Nota
1. Resepi ini kurang manis dan tak letak gula langsung. Kalau ada yang suka manis, boleh tambah susu pekat atau gula.
2. Adunan puding ini cepat mengeras. Jangan risau, kalau ia mengeras, panaskan balik di atas api perlahan sebentar. Nanti adunan akan lembut kembali.
3. Loyang tak semestinya bentuk 4 segi. Loyang bulat pun boleh guna. Tupperware biasa yg lutsinar tu pun boleh guna juga.
4. Boleh tabur kacang tanah yang ditumbuk kasar, badam cincang, nestum atau cheese sagat di atas puding jika suka.

Kredit : Hamidah HA

13. Resepi Puding Trifle Mudah Dan Sedap 

Aneka resepi puding sedap dan mudah


Bahan - Bahan 
1 gulung kek swiss roll
4 sudu  besar tepung kastard ( sukat guna sudu sukatan metrik ya ) 
1 tin susu cair
1 tin air
1 paket kristal jelly nona
1 tin fruit koktel
7 sudu besar gula

Cara - Cara 
1. Potong kek swiss roll  dan susun di dalam bekas. Susun rapat - rapat dan pastikan tiada ruang-ruang kosong supaya puding kita akan menjadi cantik.letakkan sedikit sahaja air buahan dalam tin ke atas kek supaya kek sedikit lembab.
2. Masukkan 4 sudu tepung kastard dan 1 tin susu cair dan 1 tin air kedalam periuk. Masukkan gula dan kacau rata.
3. Panaskan di atas dapur sambil menggunakan whisk.kacau sehingga adunan menjadi sedikit likat atau bila dah nampak buih - buih kecil yang comel. Tutup api .
4. Kemudian, curahkan adunan ke atas kek. Kemudian, taburkan fruit koktel keatasnya.
5. Tuangkan jelly nona (ikut step  yang dah di tulis di belakang kotak) yang telah dimasak ke atas kek
6. Sejukkan di dalam peti sebelum makan

 
14. Resepi Puding Roti Coklat

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan A
20 gm agar agar bertali
5 cawan air
3/4 cawan gula

Cara - Cara 
1. Masak sampai larut dan hancur agar - agar. Kemudian masukkan gula. Kacau hingga larut. 

Bahan B
5 keping roti gardenia. Buang kulit tepi. Potong kecil - kecil
1 biji telur
1 tin susu cair
2 sudu besar marjerin. Cairkan dulu atas api perlahan
2 sudu besar susu pekat
1 sudu besar tepung kastard
1 penutup esen vanilla
Secubit garam
1 sudu besar serbuk koko**
1 sudu besar milo**

Cara - Cara 
1. Masukkan semua bahan di atas ke dalam blender. Kecuali bahan bertanda**. Kisar halus
2. Tuang dalam periuk agar - agar tadi. Masak sampai mendidih. Tutup api.
3. Adunan puding tadi asingkan dalam 1/2 cawan. Selebihnya bahagi dua. Satu yang asal dan satu lagi campur dengan serbuk koko dan milo. Kacau dan sebatikan.
4. Tuang adunan puding yangg coklat ke dalam loyang  8x8. Biarkan sederhana beku. Tuang adunan puding yang asal atas coklat tadi perlahan - lahan hingga habis. Biarkan sederhana beku.
5. Agar - agar yang 1/2 cawan tadi panaskan semula dalam periuk. Campur 1 sudu kecil serbuk koko dan 1 sudu kecil milo.
6. Kacau dan sebatikan. Tuang dalam piping bag atau botol muncung kecil. Memang panas, pegang piping bag/botol berlapik dengan tuala/kain yang sesuai. Piping corak ikut suka atas permukaan puding. 
7. Sejukkan dlm peti sejuk 2 hingga 3 jam.
8. Keluarkan puding dari loyang dan boleh potong. 

Kredit : Zura Zul 

15. Resepi Puding Marble

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan A
* 20 gm agar2 tali
* 5 cawan air
* 1 cawan gula

Cara - Cara 
1. semua bahan ini masak sampai larut

Bahan B
*4 keping roti..buang kulit tepi dan carikkan
*1 tin susu cair
*1 biji telur
*2 ssudu besar susu pekat
*1 sudu besar tepung kastard
*1 sudu kecil esen vanila
2 sudu besar butter atau margerin
3 sudu besar serbuk koko atau cokelat emulco
Pewarna pilihan

Cara - Cara 
1. Bahan yang nertanda * dikisar halus.
2. Kemudian masukkan bahan B yg dah blend tadi ke dalam larutan agar - agar. Kecil kan api.
3. Kacau perlahan dan masukkan butter. 
4. Tunggu sehingga didih sedikit.
5. Bila dah didih, bole lah tutup api.
6. Bahagi kepada 3 bahagian. Satu warna asal sebatikan, satu warna pilihan dan satu lagi tambah serbuk koko. 
7. Basahkan acuan dan boleh tuang berselang seli atau ikut kreativiti. 
8. Sejukkan dalam peti sejuk. Hati - hati keluarkan dari acuan dan potong. 

Kredit : Fatimah Ali 

 
16. Resepi Puding Roti Karamel Kukus 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan A
1/2 cawan gula pasir
1/2 @ kurang dari 1/2 cawan air panas ( kalau kurang dari 1/2 cawan air karamel akan jadi pekat )

Cara - Cara
1. Hanguskan gula hingga perang dan  masukkan air panas.
2. Kacau segera supaya tak berketul.
3. Kemudian masukan dalam bekas atau loyang. Sejukkan suhu bilik dan ketepikan.

Bahan B
4 keping roti carik -carikkan
1 tin susu cair
1/2 cawan air suam
3 sudu besar susu pekat
1 sudu kecil esen vanilla
Garam sikit

Cara - Cara 
1. Blend semua Bahan B sampai sebati.
2. Bahan B dah sebati baru masuk 3 biji telur, kisar sekejap. Kemudian tapis.
3. Masukan Bahan B ke Bahan A.
4. Kukus selama 45minit.
5. Biarkan sekejap untuk sejukkan. Kemudian simpan dalam peti. Sedap makan sejuk - sejuk 

Kredit : Nas MShariff

 
17. Resepi Puding Sirap Selasih

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan A
10 gm agar-agar tali
1/2 cawan gula
3 1/2 cawan air
2-3 sudu besar biji selasih - rendam dulu dlm air panas
2 helai daun pandan - simpul
Sedikit sirap rose

Cara - Cara 
1. Masak agar-agar dengan air hingga larut agar - agar
2. Masukkan gula dan kacau rata
3. Masuk daun pandan
4. Kemudian sedikit sirap rose
5. Akhir sekali masuk biji selasih dan kacau sebati
6. Tuang dalam loyang atau acuan dan biarkan sederhana beku

Bahan B
10 gm agar-agar tali
1/2 cawan gula
1 1/2 cawan air
1 tin susu cair
Secubit garam

Cara - Cara 
1. Masak agar-agar dengan air hingga larut
2. Masuk gula dan kacau rata
3. Tuang susu cair dan kacau lagi
4. Masuk secubit garam dan kacau serata
5. Tuang perlahan atas lapisan sirap tadi
6. Bekukan dan baru masuk dalam peti sejuk
7. Potong ikut suka atau keluarkan dari acuan

Kredit : Zura Zul

 
18. Resepi Puding Mangga Bersama Kastard Vanilla

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan Untuk Puding
1 paket serbuk agar - agar 10 gm
4 cawan air
1 cawan gula ( kurangkan jadi 1/2 cawan sebab tak suka manis )
1 tin susu cair / 1 cawan susu segar
2 cawan isi mangga blend

*boleh tambah pewarna kuning kalau nak warna kuning cantik

Cara - Cara
1. Satukan serbuk agar - agar, gula dan air masak sampai larut.
2. Satukan mangga blend dan susu sebatikan.
3. Tuang dalam periuk agar - agar tadi dan kacau sebati.
4. Didihkan dengan api perlahan.
5. Tutup api dan tunggu sampai wap hilang.
6. Tapis dan tuang dalam loyang.
7. Sejukkan dalam peti ais.

Bahan Untuk Puding Susu
2 sudu besar serbuk agar - agar
2 cawan susu uht
1/4 cawan gula
1/2 sb esen vanilla
1/2 cawan mangga potong dadu

Cara - Cara
1. Masak semua bahan di atas sampai mendidih kemudian masukkan mangga yang dipotong.
2. Tunggu sejuk tuang diatas puding tadi.
3. Sebelum tuang cakar dulu permukaan puding.
4. Sejukkan dalam peti ais.


Bahan Kuah Kastard
1 tin susu cair / susu segar
1 cawan air
3 sudu besar tepung kastard
1/2 sudu teh garam
1 sudu besar esen vanilla

Cara - Cara
1. Satukan semua bahan sebatikan masak sehingga mendidih dengan api perlahan.
2. Sentiasa kacau sehingga pekat.
3. Sejukkan.
4. Boleh makan bersama puding jika suka.

 
19. Resepi Puding Jagung Cincau Tanpa Kastard

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan
12 gm agar - agar tali
3 1/2 cawan air
1 tin susu cair
1 tin jagung krim
3 sudu besar gula pasir
3 sudu besar susu pekat
3 sudu besar pes berperisa jagung
Sedikit cincau
Sedikit gula batu ( kalau tak letak pun tak apa )
Secubit garam

Cara - Cara 
1. Blender jagung krim dengan 1/2 cawan air. Ketepikan.
2. Potong cincau kecil - kecil. Ketepikan.
3. Bersihkan agar - agar tali. Masak agar- agar dengan 3 cawan air hingga semua agar - agar larut.
4. Masukkan gula pasir dan gula batu. Kacau hingga gula pasir dan gula batu larut.
5. Masukkan susu cair, susu pekat, pes perisa jagung, jagung krim yang telah diblender dan secubit garam. Kacau sehingga mendidih.
6. Basahkan loyang/acuan. Masukkan sedikit cincau yang telah dipotong kecil tadi. Baki cincau simpan dahulu. Tuang semua agar - agar ke dalam loyang/acuan tadi.
7. Agak dalam 10 hingga 15 minit, letak lagi sedikit cincau. Tekan sedikit cincau ke dalam agar - agar. Agak dalam 10 hingga 15 minit kemudian, letak lagi cincau ke atas agar -agar sehingga habis. Tekan - tekan sikit supaya cincau tenggelam ke dalam agar - agar. Sejukkan.
8. Apabila Puding telah sejuk, simpan di dalam peti sejuk lebih kurang 3 jam..
9. Keluarkan loyang/acuan  dari peti sejuk. Keluarkan puding dr loyang/acuan.
10. Potong ikut suka. Sedia untuk dihidangkan.

Nota
1. Sukatan bahan-bahan bergantung kpd selera atau citarasa masing2.
2. Kalau tak suka jagung, boleh tukar kepada sirap. Maka akan terjadi Puding Bandung Cincau.
3. Fungsi gula batu ialah untuk Puding kelihatan berkilat dan tidak berair.

Kredit : Hamidah HA

20. Resepi Puding Biskut Krim Kracker Hanya 3 Bahan 

Aneka resepi puding sedap dan mudah

Bahan - Bahan
1) 24 keping biskut krim kraker
2) 4 biji telur
3) 1/2 cawan susu pekat

Cara - Cara
1. Rendam biskut dalam air panas sampai kembang.

2. Dah kembang kemudian toskan.

3. Masukkan semua bahan dalam blender.

4. Kisar halus

5. Bahagikan adunan kepada beberapa warna. Ikut suka nak letak warna apa. Tapi kali ini ada 3 warna saja sebab itu saja warna yang ada di dapur.

6. Tuang warna pertama (kuning) ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit.

7. Kemudian tuang lagi untuk warna kedua( hijau). Macam biasa kukus lagi 5 minit.

8. Lapiskan sampai habis.

9. Lapisan yang terakhir kukus selama 10 minit. Nak pastikan semuanya masak dengan cantik.


Kredit : Sabariah Sisa

Terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi resepi puding yang sedap dan mudah. Hanya Allah jua yang dapat balas yang sudi berkongsi resepi.  Selamat mencuba.

Baca Juga 
























This post have 0 komentar


EmoticonEmoticon

Next article Next Post
Previous article Previous Post

Nuffnang